Tuesday, 26 May 2015

Manusia Bertempur Syaitan Di Jakarta

Kisah pertembungan dan pergaduhan antara manusia dan syaitan lazimnya dijadikan plot drama bersiri dan filem Hollywood.

Ia bukan suatu yang pelik sebagai sajian pada penonton meskipun ia hanyalah rekaan, fiksyen dan imaginasi penulis skrip.

Namun, bagaimana jika subjek yang sama digunakan untuk penerbitan drama bersiri di negara Asia?

Memberikan kelainan, produksi HBO Asia tampil dengan drama bersiri terbaru berjudul Halfworlds.

Apa yang menarik perhatian, dua nama besar dalam bidang lakonan tanah air, Bront Palarae dan aktres cilik berbakat besar, Puteri Balqis Azizi terbabit dalam projek ini.

Diarahkan karyawan seni Indonesia berpengalaman, Joko Anwar, plot membawa kisah fantasi mengenai cinta, penebusan dan pengkhianatan selain penggambaran yang mengambil latar belakang situasi masa kini di Jakarta.

Halfworlds memaparkan kisah seorang artis jalanan yang mendapat tahu tentang asal-usulnya dan mendapati dirinya secara tidak sengaja terperangkap dalam pertempuran antara manusia dan syaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif, HBO Asia, Jonathan Spink berkata, Halfworlds adalah siri pertama di Asia yang menawarkan barisan pelakon yang berbakat dalam lakonan, muzik dan seni dari rantau ini.

"Kami berbangga untuk bekerjasama dengan pengarah berwawasan Joko Anwar sebagai pilihan terbaik untuk siri original HBO Asia yang terbaru ini," katanya dalam satu kenyataan.

Bersam Bront dan Puteri Balqis, drama ini juga dijayakan pelakon Indonesia lain seperti Arifin Putra, Reza Rahadian, Aimee Saras Adinia Wirasti, Hannah Al-Rashid, Tara Basro, Alex Abbad, Ario Bayu dan Verdi Solaiman serta pelakon Singapura, Nathan Hartono.
 
Menjalani penggambaran di Batam, Indonesia, Halfworlds ditulis Collin Chang dari Los Angeles bersama Joko. 
(Foto: Joko Anwar/HBO)

Projek ini adalah penerbitan drama bersiri HBO Asia keempat selepas Dead Mine (2012), Seragoon Road (2013) dan Grace (2014).

Ia dijangka tayangan menerusi saluran HBO/HBO HD (Astro Saluran 411 / 431) pada hujung tahun ini.

- TE

No comments:

Post a Comment