Sunday, 24 May 2015

Fandi Ahmad 'Superhero' Lions XII

Tahniah kepada pasukan Lions XII atas kejayaan menjuarai Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Buat pertama kali Piala FA dibawa menyeberang tambak Johor selepas pasukan kendalian jurulatih berpengalaman, Fandi Ahmad berjaya mengatasi Kelantan dengan keputusan 3-1.

Sebagai rakyat Malaysia bersatu menyokong pasukan Kelantan pasti kecewa apabila keputusan memihak kepada Lions XII.

Jaringan ketiga menerusi penalti pemain Lions XII membuktikan mereka kini bukan pasukan sebarangan yang boleh dikalahkan meskipun majoriti mereka terdiri daripada barisan pemain muda.

Meneliti perlawanan akhir ini, Kelantan nyata tumpul dari aspek penyudah walaupun banyak peluang dan percubaan ke pintu gol lawan.

Menariknya, pemain muda Lions XII menunjukkan kesungguhan, bersemangat, mempunyai taktik permainan sepasukan yang bagus dan stamina tinggi untuk fokus ketika bermain terutama ketika melakukan percubaan.

Pujian seharusnya diberikan kepada Fandi kerana berjaya mengilap bakat pemain muda menjadi pemain profesional di peringkat antarabangsa.

Profil Fandi sebagai jurulatih bukan calang-calang bekas pemain yang boleh diperlekeh.

Dia memiliki pengalaman luas bermain dengan kelab bola sepak antarabangsa seperti pasukan Niac Mitra (Indonesia), Young Boys (Switzerland) dan Ajax (Amsterdam).

Malah, Fandi juga pernah berjasa kepada Malaysia ketika menyertai pasukan Kuala Lumpur (1986-1989) dan Pahang (1991-1992).

Paling bermakna, Fandi juga pernah membantu menjaringkan satu gol buat Selangor ketika perlawanan persahabatan menentang kelab hebat Argentina, Boca Juniors yang kesudahan keputusan 2-1.

Kehebatan Fandi ketika zaman muda pernah menarik perhatian Ajax menawarkan kontrak tiga tahun kepada Fandi selepas melalui latihan percubaan selama tiga minggu tetapi dia bermain untuk Niac Mitra selama setahun.

Paling menarik, Fandi berjaya membantu pasukan itu menjaringkan gol kemenangan 2-0 dalam perlawanan persahabatan menentang Arsenal.

Namun, dia meninggalkan pasukan itu apabila Liga Galatama melarang pemain import.
Itu sejarah Fandi yang kini dia boleh berbangga sebagai jurulatih hebat dan digeruni serta layak digelar 'superhero' pasukan Lions XII.

Seperti komen Fandi pada perlawanan akhir ini, dia memuji pemainnya yang sangat disiplin sambil mengakui pemain Kelantan bertungkus lumus menyerang.

Apapun, Kelantan mahupun pemain kita harus berfikir secara positif menilai semula cara permainan secara keseluruhan dan belajar daripada kesilapan.

- TE

(Foto: goal.com, sporesoccer.blogspot.com & rebeldiamonds.wordpress.com)

No comments:

Post a Comment