Monday, 18 May 2015

Jangan Jadi Graduan 'Kutu Grahak'


Ketika zaman sekolah era 80-an, acapkali TE tengok gelagat 'kutu grahak' termasuk budak belum baligh melepak tepi jalan bermain gitar.

Tak salah lepak sambil main gitar sampai dengar hujung jalan tapi apa yang membuatkan situasi jadi mual bila mereka tunjuk 'skill' sebaik terpandang awek melintas.

Ada yang bersiul sampaikan terjerit seolah hilang pedoman bila tak dilayan.

Itu perangai belia zaman itu tetapi berbeza pula zaman sekarang. Timbul pula kisah salah seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bikin kontroversi pada majlis konvokesyen ke-82 yang berlangsung baru-baru ini.

Nampak seolah perkara kecil yang tidak perlu dijadikan isu apabila tindakan graduan itu mengambil gambar selfie di atas pentas ditegur pihak universiti termasuk orang ramai.

Ada yang kata graduan di universiti lain terutama di luar negara tiada masalah untuk selfie atau buat perangai atas pentas sebagai meraikan hari gembira mereka.

Terbaru, satu video dimuat naik menunjukkan seorang graduan Malaysia berjoget ketika naik ke pentas sebelum selfie di Universiti Sheffield yang mendapat sorakan ramai.


Persoalan boleh atau tidak selfie sehingga berperangai di luar protokol sebagai graduan atas pentas?

Bagi TE berpengalaman 7 tahun bersama institusi pendidikan tinggi awam bumiputera terulung sejak zaman Institut Teknologi Mara (ITM) dari Diploma sehingga Sarjana, perasaan bangga menjadi graduan cukup menebal.

Bangga dalam erti kata, bukan saja gembira tamat belajar tetapi hari konvokesyen adalah paling bermakna yang dikongsi bersama keluarga dan rakan-rakan.

Teringat TE ketika mewakili ITM Melaka ke Stadium Malawati pada tahun 1998 menyaksikan detik bersejarah ITM diumumkan sebagai universiti oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika itu, nyanyian beramai-ramai lagu ITM Dihatiku cukup mengusik jiwa. Malah, sehingga kini perasaan bangga itu masih wujud dan kenangan ketika konvokesyen tetap terpahat dalam ingatan.

Bagi mereka yang bakal bergelar graduan, fikirkan sesuatu yang positif untuk diri sendiri. 

Apakah berbaloi melakukan tindakan selfie atas pentas atau berbangga mencatat kejayaan sebagai pelajar terbaik atau paling tidak gembira berjaya tamat belajar.

Kepada semua graduan khususnya ITM/UiTM, jadilah insan yang berilmu dan beretika.

- TE





No comments:

Post a Comment