Bagi peminat yang sudah menonton sekuel filem Furious 7 (F7) pastinya ia menjadi kenangan manis bersama mendiang Paul Walker.
Impak Walker terhadap filem itu cukup kuat apabila ia mendorong peminat datang menonton.
Namun, apabila F7 berakhir, peminat membayangkan ia adalah penyudah kepada kisah persahabatan dan keluarga yang mahu dikongsi dalam filem edaran Universal ini.
F7 tetap hebat apabila ia bukan saja digemari peminat tetapi berjaya mencatat kutipan keseluruhan sebanyak AS$1.2 bilion di seluruh dunia merujuk laporan boxofficemojo sehingga 23 April lalu.
Susulan kejayaan itu, pelakon Vin Diesel juga mengumumkan sekuel kelapan dijangka menemui peminat pada 14 April 2017.
Meskipun tiada lagi kelibat Walker yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 30 November 2013, Diesel yang membuat pengumuman itu di acara CinemaCon baru-baru ini turut terkenang memori bersama Walker ketika mereka berada di Pameran Vegas sebelum ini.
"Saya bersumpah pada anda dan abang saya yang berada di atas sana, kami akan membuat filem terbaik yang pernah anda tonton," katanya seperti dilaporkan USA Today, semalam.
Namun, Diesel tidak memberikan butiran lanjut mengenai projek sekuel terbaru itu.
Apakah kejutan untuk Fast & Furious 8?
Jika produksi ini singgah melakukan penggambaran di Kuala Lumpur pastinya gempak dan mungkin kereta terbang berlaku di KLCC sebelum singgah di Kampung Baru mencuba nasi lemak antarabangsa.
Hebat bukan? Tidak mustahil jika produksi Hollywood datang ke sini melakukan penggambaran apatah lagi Datuk Jackie Chan juga sudah berhasrat melakukan penggambaran di Kuching, Sarawak akan datang.
Apapun, TE dengan peminat filem ini tentunya tidak sabar untuk berhibur lagi.
- TE
(Foto: USA Today)
No comments:
Post a Comment