Thursday, 16 April 2015

Mampukah Izara Tandingi Maya?


Bagi peminat filem Melayu, naskhah pengarah terkenal, Osman Ali cukup sinonim dengan kisah cinta bersama lakon layar yang diterjemahkan menerusi sinematografi romantik.

Filem Anak Halal, Cun!, Ombak Rindu dan Sejoli antara hasil yang cukup membanggakan sebagai filem Melayu yang membuai perasaan penonton terhadap erti cinta mahupun memahami lebih mendalam elemen persahabatan dan keluarga.

Selain hasil pengarahan yang mahu disampaikan secara visual dalam setiap filem arahannya, kekuatan filemnya juga  sebenarnya banyak bergantung pada penampilan aktres jelita, Maya Karin. 

Ini terbukti apabila aksi Maya berjaya tarik perhatian penonton menerusi filem Anak Halal, Cun!, Ombak Rindu dan Sejoli.

Namun, buah tangan terbaru Osman berjudul Pilot Cafe cuba mempertaruhkan Izara Aishah sebagai heroin di sisi Fahrin Ahmad yang melakonkan watak Kapten Ameer.

Bagi pengarah mahupun penonton, selain plot dan penyampaian visual yang menarik di layar perak, gandingan pelakon utama juga memainkan peranan penting.

Mungkin percubaan Osman kali ini menggantikan Maya dengan Izara mampu membuahkan hasil ataupun dibantu Neelofa yang juga terbabit sama atau mungkin aksi panas Remy Ishak bersama Izara berasmara di atas batu sambil dipukul ombak menjadi umpan yang cukup kuat!

Apapun, TE sebagai penonton, peminat dan sahabat Osman mendoakan filem ini bakal mendapat sambutan apabila ditayangkan bermula 30 April ini.

Mari kita bersama menyokong filem tempatan khususnya filem Melayu! 

- TE

No comments:

Post a Comment