Kereta Terbang! Kedengaran pelik seperti cerita kartun tetapi jika namanya produksi Hollywood, segala yang mustahil mampu menjadi realiti.
Aksi kereta terbang dari atas jambatan suatu yang biasa tetapi jika dipaparkan kereta itu terbang dari sebuah pesawat menggunakan payung terjun manakala mampu melompat dari bangunan tinggi ke bangunan lain pastinya ia mengujakan.
Imaginasi itu direalisasikan pengarah James Wan dalam sekuel terbaru, Furious 7 yang kini hangat ditayangkan di pawagam tempatan.
Jika peminat filem aksi ini tidak menonton trailer filem ini, petunjuk kereta terbang ini diperkatakan pelakon utamanya, Brian O'Conner lakonan mendiang Paul Walker ketika anaknya mencampakkan kereta mainan dari keretanya.
Kehidupan O'Conner yang mula berubah selepas bekeluarga kembali berserabut apabila dia bersama rakannya lain termasuk Vin Diesel (Dominic Toretto) dan Michelle Rodriguez (Letty) berusaha menjejaki Deckard Shaw (Jason Statham).
Dalam 'opening scene' sekuel kali ini, Statham yang lebih sinonim sebagai hero filem The Transporter tampil sebagai antagonis yang membalas dendam kematian adiknya dan kemunculan sudah dijangka selepas dia membunuh rakan kumpulan O'Conner, Han di Tokyo dalam sekuel sebelumnya.
Riak muka serius Statham menjiwai karakter berkenaan tampak seperti terminator yang sukar ditandingi.
Berbalik pada elemen kereta terbang, Furious 7 cuba membawakan fokus penonton kepada suatu kelainan yang mereka cipta.
Atas niat itu, mereka mewujudkan kereta terbang dari atas pesawat menggunakan payung terjun dalam misi kumpulan O'Conner menjejaki Ramsey seorang penggodam yang mencipta perisian 'God's Eye' yang berupaya mengesan sesiapa saja di seluruh pelusuk dunia menggunakan teknologi satelit dipancarkan pada perisian itu.
Bagi peminat filem aksi, plot bukanlah faktor utama yang mahu diberi fokus teapi keterujaan mereka mahu melihat apa lagi jenis kereta lumba dan mewah bersama aksi yang mahu ditonjolkan.
Kali ini, Furious 7 membawa kejutan menerusi 'super car' jenama Lykan HyperSport buatan Lebanon beharga AS$3.4 juta!
Lebih menarik kereta ini terbang dari bangunan berkembar tiga, Menara Etihad dari satu bangunan ke bangunan lain sebelum berkecai.
Gabungan kereta mewah 'super car' bersama lokasi di bangunan yang menjadi mercu tanda Abu Dhabi ini suatu yang cukup sempurna apatah lagi mata penonton disogok dengan aksi gadis seksi berbikini cukup mengiurkan.
Di sebalik plot, elemen aksi kereta terbang dan gadis seksi, filem ini meninggalkan memori indah buat peminat terhadap mesej keluarga yang dipaparkan pada watak-watak hero ini.
"Saya tidak mempunyai kawan tetapi saya ada keluarga," kata Toretto kepada Shaw sebelum mereka berlawan.
Meskipun segelintir peminat filem aksi kecewa kerana kurang aksi disajikan dalam sekuel kali ini dan melabel filem ini merapu dari aspek aksi yang dipertontonkan, ia tetap istimewa sebagai kenangan terakhir Walker sebelum meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu.
Apapun, sebagai peminat filem aksi khususnya sekuel filem ini, ia tetap hebat dan tidak rugi ditonton sebagai hiburan.
- mD