Ramai yang mengeluh beban cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak 1 April turut berlaku di restoran mamak yang menjadi 'port' pilihan ramai penggemar teh tarik, roti canai dan meggi goreng telur mata.
Ketika ini juga, mereka yang bergaji bawah RM3,000 tidaklah semewah hidup yang disangka dan ia sebenarnya berada pada garis kemiskinan untuk mereka yang tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Mungkin ada antara kita mula memikirkan cara meraih pendapatan sampingan sama ada berniaga, buat kerja lebih masa atau cari kerja lain yang menawarkan gaji lebih tinggi.
Dalam laporan antarabangsa menyebut anak bekas presiden Amerika Syarikat, Chelsea Clinton (gambar) dibayar AS$85,000 (RM317,830) hanya penampilan selama sejam memenuhi undangan satu universiti.
Itu adalah harga pilihan lebih murah yang ditawarkan ibunya, Hillary apabila mengenakan caj AS$350,000 (RM1.3 juta) untuk tempoh yang sama.
Memang suatu yang difikirkan tidak logik tetapi apabila populariti dijadikan faktor, penganjur acara sanggup membayarnya.
Teringat TE kepada seorang artis popular yang pernah memenangi pelbagai anugerah kini sibuk memenuhi jemputan sebagai tetamu untuk pelbagai acara.
Menariknya, artis itu mendedahkan beliau dibayar sebanyak RM8,000 hanya bercakap mengenai pengalamannya di atas pentas selama sejam.
Memang hebat. Individu yang mempunyai populariti mampu meraih pendapatan lumayan hanya dalam masa singkat tanpa perlu perah otak dan membanting kudrat selama sebulan untuk mendapatkan gaji.
Meskipun kita beranggapan hanya orang popular mampu hidup senang tapi tahukah anda mereka juga adalah manusia biasa yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang populariti kemudian berusaha mencipta populariti.
Namun, apabila mereka menyedari potensi diri dan bijak mencari peluang menjana pendapatan mereka mampu berjaya dan hidup mewah.
Suatu ketika dulu, orang yang pandai bercakap hanya sesuai jual ubat, jurujual pen atau insurans tetapi kini persepsi itu berubah.
Mulai sekarang, kita harus menilai semula potensi diri untuk berubah dan mengubah hidup ke arah lebih baik. Insha Allah.
- TE
No comments:
Post a Comment