Wahai perantau di kota, sudah kembali ke kampung halaman ke?
Terpaksa bersesak atas jalan raya untuk beraya adalah lumrah yang sebenarnya berlaku di mana saja.
Kita mungkin berasakan nasib sendiri lebih teruk tetapi ada lagi orang lain yang menempuh laluan sukar seperti penduduk di negara jiran kita, Indonesia yang ada antara mereka menaiki motosikal lima beranak menempuh perjalanan jauh sehingga anak tertidur dan meragut nyawa.
Namun, lebaran kali ini pastinya dinantikan semua untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Isu harga barang naik akibat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau orang bijak pandai bagi nasihat jangan balik kampung bukan alasan untuk kita semua bertemu keluarga tersayang.
Selagi kita mempunyai ibu bapa, datuk dan nenek, jangan lepaskan peluang untuk bersama mereka.
TE teringat kenangan di zaman kanak-kanak apabila semua anggota keluarga berkumpul di kampung atuk dan opah di Pasir Puteh, Ipoh termasuk di rumah mak saudara (arwah) yang pandai masak laksa.
Ditemani suasana kampung, pokok manggis, rambutan dan durian, tambah seronok apabila menjamah lemang bersama rendang, agar-agar kering, buah 'kanto' dan bermain bunga api serta kumpul duit raya.
Kini, apabila atuk dan opah sudah lama tiada, TE masih sempat merasai keseronokkan yang hampir sama apabila beraya bersama ibu mentuaku di Kampung Lubuk Kawah, Besut.
Istimewanya, ibu mentuaku 'jaguh' masak ketupat! Jika ada yang kata ketupat Sogo atau Jusco Wangsa Maju sedap tetapi ibu mentuaku lagi 'dahsyat' sehingga boleh membuatkan mereka yang pernah rasa jadi angau.
Sambil menemani ibu mentuaku mengisi pulut ke dalam daun palas, sempat beliau berkongsi satu kisah menarik pengalamannya lalu.
Katanya, suatu ketika dulu beliau menjaja ketupat yang dibuatnya itu dengan harga 10 sen satu.
Seperti mana komen TE mengatakan ketupat ibu mentuaku memang dahsyat, begitu juga ceritanya sambutannya pada masa itu cukup laris.
Namun, sudah menjadi tradisi masyarakat Melayu gamaknya yang bersifat dengki terhadap perniagaan orang lain sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk.
Sambungnya, selama 3 bulan ibu mentuaku sakit belakang ketika berniaga ketupat. Rupanya apabila berjumpa bomoh, ada hantu raya bertenggek di bahunya!
Bukan Islam mungkin sukar percaya perbuatan mistik seperti ini tetapi kisah ini sepatutnya menjadi pengajaran pada semua khusus yang berniaga agar lebih bersikap jujur dalam mencari rezeki halal.
Sesungguhnya, Allah telah menyatakan rezeki untuk hambanya cukup luas apatah lagi perniagaan mempunyai nisbah keuntungan besar.
Di kesempatan ini, TE sekeluarga ingin ucapkan selamat hari raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin. Moga lebaran kali ini lebih bermakna dan kita masih sempat berkongsi kegembiraan bersama orang tersayang.
- TE