Wednesday, 23 December 2015

Jangan Kencing Customer Maa!

Bila kereta sendiri terbabit dalam kemalangan, sudah tentu kita rujuk pada syarikat insurans untuk baiki. 

Persoalannya, panel insurans iaitu bengkel yang membaiki kereta pemegang polisi mereka sama ada boleh dipercayai atau tidak. 

Bab percaya atau tidak memang suatu yang sukar dijangka.

TE adalah pemegang insurans Takaful Ikhlas dan terbabit dalam satu kemalangan di satu selekoh berdekatan Plaza Tol MEX Putrajaya pada bulan lalu.

Kereta TE dirujuk panel insurans tersebut ke satu bengkel yang kononnya terkenal di Balakong. 

Sebagai pemegang polisi insurans kita hanya berserah pada syarikat insurans untuk menguruskan segalanya.

Namun, 'kecederaan' kereta TE membabitkan bumper hadapan dan lampu sebelah kanan pecah, pintu sebelah pemandu dan bumper belakang siap dalam tempoh 2 minggu! 
Memang hebat bila siap cepat tapi seperti dijangka hasilnya juga 'hebat' apabila cat pada badan kereta dibuat cincai dan aircond tiba-tiba jadi tak sejuk. 

Bengkel tuntut kos daripada syarikat insurans sebanyak RM6k ++. 

Kali kedua TE datang terpaksa complaint pasal aircond. Mereka buat tanpa banyak soal tapi untuk 'touch up' balik cat perlu masa anggaran 3 sehingga 4 jam.

Mengapa pemengang polisi insurans perlu buang masa datang berulang kali untuk complaint? 

Rupanya bukan saja TE yang alami situasi sama tetapi pada masa itu ada dua lagi mangsa buat aduan yang sama.

Moral of the story, lain kali buat kerja jangan cincai. Duit claim sudah masuk, jangan kencing customer maa! 

Itu customer bukan repair free atau pinjam you punya duit.

Sejarah TE guna lebih 10 jenis kereta daripada Toyota, Perodua, Proton sehingga Nissan, dah bermacam kaki kencing TE jumpa kat bengkel macam ini. 

Apapun, TE orang Ipoh tetap salute pomen Ah Yan (Silibin) dan Ah Mun (tukang cat Pasir Puteh) yang memang jujur dalam kerja. 

Mereka bukan nak kaya cepat tapi buat kerja memang pastikan hasilnya terbaik sehingga pelanggan puas hati dengan bayaran yang berbaloi.

- TE

Tuesday, 22 December 2015

Hubungi 112 Jika Kecemasan

Seringkali wanita menjadi mangsa pengguna jalan raya akibat perbuatan mereka yang berniat melakukan jenayah.

Awas, jika anda cuba ditahan mereka yang menyamar sebagai anggota polis. 

Satu kisah dikongsi pengguna Facebook sebagai memberi peringatan pada orang ramai khusus wanita agar lebih berhati-hati dan paling penting, hubungi talian kecemasan 999 atau 112.

"Kejadian berlaku kepada seorsng pelajar kolej perempuan berumur 19 tahun... Insiden berlaku semasa bercuti, hari Sabtu jam 1ptg... 

"Dia sedang memandu untuk melawat kawannya, apabila tiba² ada sebuah kereta polis TIDAK BERTANDA (Sticker Polis) mengekori dari belakang sambil menyalakan lampu biru... 

"Mengingatkan pesan ayahnya supaya berhati-hati dengan kereta yg tidak bertanda (jika perlu, teruskan memandu hingga ke tempat yg lebih selamat seperti stesen minyak/balai polis dll), dia menelefon talian 112 dari telefonnya dan disambungkan ke pusat kecemasan... 

"Dia memberitahu polis ada kereta polis tidak bertanda dan berlampu flash biru mengekorinya di belakang, dan memaklumkan tidak akan berhenti di tepi jalan...

"Pegawai polis itu memeriksa dan mengesahkan bahawa tiada kereta polis di lokasi kereta remaja itu dan menasihatkannya supaya meneruskan pemanduan dengan tenang, pihak polis dalam perjalanan ke lokasinya sbg "back up"...

"10 minit kemudian, 2 buah kereta polis mengekorinya dan kereta 'polis' di belakang... Polis berjaya menahan pemandu kereta itu dan dikenalpasti pernah didakwa merogol dan sedang dicari atas beberapa jenayah lain...

"Saya belum pernah mendengar nasihat sebegini sebelum ini... Tapi kepada para pemandu wanita, terutamanya yg memandu sendirian, JANGAN SESEKALI BERHENTI apabila ditahan oleh kereta polis yg tidak bertanda... 

"Pihak polis perlu menghormati hak anda untuk berada di tempat yg selamat... Berikan isyarat untuk memaklumkan mereka contohnya hazard light, atau telefon talian 112...

"Alangkah sayangnya penyedia perkhidmatan telefon mudahalih tidak mewar²kan maklumat yg sangat berguna ini...

"Sekarang giliran anda untuk memaklumkan kawan² yg lainnya tentang 112 (112 adalah nombor kecemasan yg akan terus menghubungkan anda kepada pihak polis kerana 999 tidak berfungsi jika berada di luar liputan)... 

"112 juga menggunakan sistem yg dipanggil "triangulation" yg boleh memberikan polis lokasi tepat di mana anda berada ketika menelefon..."

- TE

Monday, 14 December 2015

Kehebatan Seorang Warga Emas...

Kisah yang dikongsi seorang pengguna Facebook, Mohd Yusoff Kasim mengenai kehebatan di sebalik kekayaan seorang lelaki warga emas.

Moga ia menjadi teladan pada kita semua mencari kekayaan dengan keredaan.

..............

Saya jumpa lelaki tua ini...
Selalu lepas Asar dia iktikaf di masjid.
Baca al Quran. Umur 70an. Duduk rumah dekat masjid.
Rumah agam besar dan menarik.
Hartanya disana sini, bangunan komesil tengah bandar. Milikan RM35juta. Pendapatan pasif kutip sewa RM70,000 sebulan. Belanja RM20,000. RM50,000 sedekah dan infaq.
Dia tenang bersendirian melayani anak cucu.
Saya mahu ambil gambar. Dia menolak. katanya malu.
Saya minta formula. Dia berikan 15. Saya catat dan mahu kongsikan. Bolehkah saya kongsikan?

#1 – Pertama, dia kata muliakan ibu bapa. Doa ibubapa adalah segala galanya. Ia tiada hijab terus termakbul. Raikan ibubapa. jaga mereka sepanjang usia. Doakan mereka apabila telah tiada.

#2 – Jaga masa. Ia datang dan berakhir. Urus masa antara 5 waktu solat. Atur kerja dengan sebaik cara. Pada setiap waktu ada perkara yang kita mulakan. Ada di masjid sebelum azan. masuk waktu terus solat. Selepas solat bertebaran berusaha cari rezeki.

#3 – Berdoa dengan khusyuk. Serah pada Allah. Tawakal. Allah tahu apa yang terbaik untuk kita.

#4 – Namun begitu kena usaha. Usaha pagi petang siang malam. Usaha sungguh sungguh. Usaha bermula dengan pasang niat. Lepas itu buat buat buat. Sampai dapat. Tidak dapat, usaha lain pula. Masa buat baca al Quran. Maka dia pun nasihatkan saya,

“Orang yang membaca surah Al-Ikhlas satu kali sama ganjarannya dengan memperoleh ganjaran membaca sepertiga Al-Quran. Jadi jika membaca surat Al-Ikhlas tiga kali mendapat ganjaran seperti membaca satu Al-Quran.
Rasulullah SAW pernah bertanya “Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur’an dalam jangka masa dua-tiga minit?” Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah UmarAl Khattab r.a telah mengatakan adalah mustahil untuk mengatam Qur’an dalam begitu cepat.

Ali Abi Talib r.a pun membaca surah Al-Ikhlas tiga kali.Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul.
Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 juzuk kitab Al-Quran. Apabila membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali khatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 juzuk Al-Quran.
Sabda Rasullullah SAW: “Sesiapa membaca ‘Qul huwAllahu Ahad’ sebanyak 3 kali, dikurniakannya pahala seperti pahala orang yang membaca Al-Quran sekali khatam.”

Lelaki tua itu berkata, mulut dia tidak berhenti baca surah al Ikhlas. Kadang kadang sampai 1000 kali sehari. Dan tiap lepas asar masa dia iktikaf dan baca Al Quran.

#5 – Jaga Kesihatan. Jaga kesihatan. jaga kesihatan. Banyak berjalan kaki. Banyak. minum air masak atau air mineral. Jaga makanan.Kata lelaki tua ini lagi:

#6 – Hidup kena buat target. Ada wawasan. Ikat perut. Usah membazir. Mula dengan makanan. Makanan dan minuman mesti habiskan. Usah lagak orang kaya, padahal kita teman pada syaitan. Sentiasa belanja orang. Makan dikedai kecil. Perhatikan kebersihan kedai. Apabila bersih masuk. Disitu kita temui ramai orang susah. Belanja mereka..

#7 – Waktu maghrib usah ada atas jalan. Apabila dalam perjalanan berhenti. Cari masjid. Apabila dirumah, tutup pintu rapat rapat. Malam buang sampah sarap. Basuh pinggan mangkuk. Pastikan semua teratur sebelum tidur. Gunakan waktu antara maghrib dan isyak untuk tuntut ilmu agama. Boleh dengar orang mengajar. Boleh juga baca kitab. Lepas Isyak buat kira kira untung rugi. Siapkan bahan dan pakaian untuk kerja esok hari.

#8 – Usah takut jumpa orang. Walaupun 5 minit mahu berjumpa. Pergi sendiri. Usah pakai posmen apabila depani soal penting. Kita rangkak panjat bangunan. Tunggu. Biarlah kita ambil masa berhari hari perjalanan. yang penting sampaikan dengan tangan sendiri.Tenung mata dan baca “ayat ayat pengasih”. Hehehe. (Nota tambahan: Surah Yusuf: Ayat 4)

#9 – Balik malam, usah cakap penat. Usah cakap letih. Usah cakap sakit. Apabila sakit senyum. Allah sedang luruhkan dosa. Lepas sakit kita lagi bertenaga. Siapakah dalam dunia yang tidak pernah rasa sakit. Jatuh. dihina. Semua termasuk Rasulullah SAW. Namun, baginda ajar kita maafkan semua orang.

#10 – Niat mahu kaya. Niat mahu bantu ramai orang. Niat mahu jadi manusia berguna.Niat itu macam tulis surat. Dulu tiada internet, Macam tulis surat la. Salah tulis alamat akan sampai salah tempatlah surat itu. Maka tulis alamat betul betul. Niat mahu kaya, supaya kita dapat bantu ramai lagi orang. Mahu membahagiakan ramai orang.

#11 – Mula berniaga, usah buat pinjaman. Cukup dengan apa yang ada ditangan. Itu masa kita belajar. Berniaga ini seni. Kita sahaja tahu maksud lakaran. Terbakar tangan biasa. Namun, dengan duit sedikit kita tak rasa sangat panasnya. Usah samakan orang dengan kita. Mereka lain tak serupa.
(Kedai mula mula di mulut sahaja.) Senyum mesra, mulut manis. Usah sombong.sentiasa tegur dan sapa manusia. Kita berniaga dengan manusia.Berniaga dengan siapa sahaja. Andai kata kita kaki surau. Berniaga dengan orang surau tidak jadikan kita kaya. Berniaga dengan semua orang walaupun dia haprak keparat. Yang penting tunai. Ada duit kita cerita. Ada barang kita jual.

#12 – Modal kita adalah daya penarik yang pada diri kita. Daya penarik adalah ciri yang ada dalam diri yang buat orang lain rasa senang dengan kita. Cari ilmu tentang produk. Apabila orang tanya jawab dengan lancar dan petah. Jelas. sebut satu demi satu. Usah ragu ragu dan termanggu. Kongsi bukan jual. Ingat sentiasa kongsi dengan semangat membara. Orang jatuh cinta dengan semangat kita.

#13 – Apa lagi..ahaaa..masa mula niaga biar mendalam dulu. Usah cepat mahu melebar.Fahamkah apa pakcik cakap. Maksudnya biar berjaya satu demi satu. Apabila mula guna modal sendiri, kemudian buat sungguh sungguh sampai berjaya. Lepas dah nampak hasil, mula lebarkan. Masa itu boleh la mahu buat pinjaman. Kita sudah ada ilmu bisnes.
***

(Cukuplah tu. Masa ni Lelaki Tua Berkain Pelikat sudah mahu berhenti. Saya senyum peluk dia dan kata, “baharu ada 13 anak sungai di syurga. Tambah sampai 20″. Saya buat contengan kata dia dalam kepala..

#14 – Kita kena buat promosi apa jua yang kita bisnes. Produk tak boleh bercakap.Sejak bila pula lah produk boleh bercakap. Orang kena tahu apa yang kita buat. Caranya buka bank emosi dengan setiap pelanggan kita. Pelanggan yang puas hati datang lagi. Datang lagi. Sekarang pun Pak Cik masih buat bisnes sikit sikit. Perumahan. Pak Ciik buat lima rumah sekali siap. Siap baharu jual. Pak Cik buat cantik. Jual mahal. Orang beratur mahu beli. Jual barang siap. Usah jual barang dalam laut yang tidak tahu tersangkut pada pukat atau tidak. Tidak berkat begitu.

#15 – Apabila bisnes sudah maju, usah berlagak. Dahulu Pak Cik suka gunting rambut kedai Nawi. Dia tanya “Bagaimana Pak Cik mahu gunting rambut? Pak Cik jawab , “Dengan senyap senyap tapi cantik”. Anak fahamkah apa Pak Cik cakap ni? Jawab saya, “Faham Pak Cik, saya juga gunting rambut disitu sejak umur 15 tahun”. Hehehe. Maksudnya usah gosip sana gosip sini, balun orang sana balun orang sini. Usah peduli rambut atas kepala orang lain. Apa yang utama rambut kita tersisir rapi.Bijak anak ni. Apa nama? Yesss. Dia sudah tanya nama saya. Maknanya saya sudah dapat Mentor Lelaki Tua Berkain Pelikat.

#16 – Anak..ingat kita hidup sungguh sebentar, macam main bola sahaja. 90 minit tamatlah permainan. Itulah lebih kurang bandingan hidup didunia ini. Kita kejar bola. Cuba jaringkan gol. Apabila sampai tiupan wisel, tahulah keputusan. Apabila malaikat maut datang jemput kita, habislah kita. Ada dunia kekal abadi di sana. Usahlah kita berlagak sombong masa berjalan atas bumi Tuhan ini.

Paku yang nampak tidak rapat ke papan, akan diketuk oleh Tuan Rumah. Itulah perumpamaan hidupan. Rapat ke bumi. Sujud pada Tuhan.
Bacalah surah ar Rahman ayat 46, “Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua syurga”

#17 – Pak Cik bersyukur sampai ke tahap ini. Pak cik bersyukur. Syukur itu tandanya apabila Pak Cik rasa tak layak terima, namun Allah berikan juga. Pak Cik habiskan masa dalam waktu kecemasan ini dengan memandang yang memberi nikmat bukan pada nikmatnya. Anakku bersyukurlah. Masih punya masa mengatur tapak menjejaki orang hebat dalam agama.
Dunia ini tidak lebih dari sayap nyamuk sahaja. Usah letak dunia di hati. Tetapi berusahalah supaya dunia dalam genggaman tangan kita. Pak Cik pakai kereta besar, bukan untuk apa namun Pak Cik mahu menikmati apa rasa sayap nyamuk itu. Kalau sayap nyamuk itu sudah rasa nikmatnya, bayangkan nikmat di syurga.

#18 – Anak… Apabila mahu makan nasi, dapatkan beras. Cakap cakap dan sembang sembang tidak hasilkan beras. Rajin usaha. sampai waktu solat. Solat itu tiang agama. Usah terjerat dengan penyakit umat akhir zaman. Mereka cintakan dunia. Takutkan mati. Hakikatnya mati itu pasti. Namun, jangan kerana takutkan mati duduk atas masjid semata mata dan harapkan hidangan turun dari langit.

Tidak boleh begitu. Cuba beri masa untuk semua perkara. Umur macam Pak Cik sekarang, hari hari biasa, 6 jam tidur. 6 jam bekerja. 6 jam duduk atas masjid. 6 jam bersama anak cucu cicit. Anak, ada Pak Cik ingat, Nabi SAW sebut, “Peliharalah lidahmu, luaskan rumahmu dan tangislah dosamu”. Cuba anak check siapa perawinya. (nota: Hadis riwayat at Tirmizi)

#19 – Anakku kita bukan orang sufi. Mereka lain. Kita orang biasa,
“Apabila kemiskinan datang bertandang mengetuk di pintu, kasih sayang segera terbang keluar ikut jendela. Saat itu sahabat dekat mula menjauh, kesusahan bagaikan banjir besar menghanyutkan segalanya pergi dan ianya hanya kembali apabila kita kaya semula”

Rajinlah berusaha. Wang bukan segala galanya. Namun banyak perkara dalam dunia sekarang perlukan wang anakku. Wang bukan raja. Wang adalah hamba perkasa yang memudahkan banyak perkara. ramai orang sedikit sedikit sebut Tuhan, pada hal hati mereka bersimpang simpang.

#20 – Cuba sedaya upaya supaya ada wuduk pada tubuh kita. Ianya adalah cara terbaik cucikan diri. Cuba mandi setiap kali sebelum masuk waktu. Tidak dapat kerana banyak masa di pejabat, mandi 3 kali sehari. Sebelum subuh, sebelum maghrib dan sebelum isya’. InsyaAllah kita rasa bersih dan tenang dari segi luaran. Sewaktu berdiri mahu solat, rasakan ketakutan luar biasa. Kita sedang menghadap Allah Raja dan Tuan kepada segala Raja...

CB : Dato Roslan Abd Hamid
Silakan share dengan gembira semoga memberi manfaat n inspirasi tuk semua..

Friday, 4 December 2015

Siapakah Mangsa Seterusnya?

Fikir sejenak. 6 kes pecah rumah, 1 kes kecurian kereta dan 1 kes ragut depan pondok jaga. 

Kesemuanya berlaku dalam tempoh 4 bulan sejak Ogos lalu.

Apakah iktibar daripada musibah berkenaan sama ada kawalan keselamatan terlalu lemah atau polis tidak mengambil sebarang tindakan susulan berdasarkan laporan polis yang dibuat mangsa.

Jika sembang di kedai kopi atau tepi jalan, kes pecah rumah memang berlaku di mana saja dan sering berulang.

Namun, bagaimana pula nasib penghuni Pangsapuri Melur di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang mempunyai JMB sendiri termasuk pengawal keselamatan yang dibayar gaji untuk menjaga keselamatan kediaman penghuni.

Jaga tido ke? Atau mereka sendiri penyangak? 

Kehidupan penghuni di sini tidak lagi aman apabila saban bulan ada saja kes pecah rumah berlaku.

Apakah tindakan seterusnya? Siapakah yang harus bertindak? Apakah penghuni di sini perlu tunggu berlaku kes bunuh baru pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya?

Menyalahkan penghuni kerana tidak meletakkan kunci tambahan bukan tindakan bijak kerana penyamun zaman sekarang makin hebat bab pecah masuk.

Siapakah mangsa seterusnya? Siapakah hero yang akan selamatkan penghuni di sini? Kita tunggu dan lihat.


- TE




Tuesday, 1 December 2015

Jadi insan positif... boleh ke?

Alhamdulillah. Bersyukur kerana kita masih diberi peluang merasai nikmat hidup. 

Nikmat ini pelbagai tidak kira hirup udara segar, makan, minum, cinta mahupun bersama mereka yang tersayang.

Namun, dalam kita menjalankan tugas rutin dan mengejar impian, apakah kita terfikir untuk menjadi seorang yang positif.

TE teringkat kenangan suatu ketika dulu ketika pertama kali sertai kelas Unit Trust bersama perunding unit amanah terkenal, Nazril Idrus (Nash) dan rakan-rakan lain.

Dalam hati pada masa itu terdetik, apakah yang mereka masuk mahupun berjaya dalam bidang ini macam poyo atau belagak bagus.

Rupanya apabila kita mula adaptasi diri sendiri dengan pengalaman baru nyata ia sebenarnya membina semangat baru dalam diri untuk jadi positif dan lebih bersemangat.

Menariknya, ketika setiap daripada peserta berkongsi pengalaman dan masalah, peserta lain memberikan sepenuh perhatian.

Malah, apa yang lebih mengejutkan apabila mereka memberi kata-kata semangat seperti "we support you!".

Bunyi situasi mungkin agak poyo tetapi percayalah kita akan merasai susuatu yang berbeza.

Jadi positif sebenarnya tidak susah. Kita harus bijak dalam melihat sesuatu situasi dari aspek positif untuk kebaikan diri atau orang lain.

Tapi bagaimana pula jika kita terjumpa orang bersikap atau berfikiran negatif? Jawapannya "go away!" atau bolayan.

Justeru, cubalah jadi positif dan hasilnya anda akan dapat suatu ketenangan yang luar biasa. Insha Allah.

- TE

Sunday, 15 November 2015

Bahagian 2: Sarjan Oh Sarjan...

Tiga hari sudah berlalu sejak hari kejadian pada Khamis lalu.

Laporan polis sudah dibuat selepas memaklumkan kejadian pecah rumah TE dengan pihak JMB. 

Namun, apakah kesudahannya? Bagaimana mahu ada kesudahan jika tiada tindakan pihak berwajib.

Sepatutnya, pihak polis berjanji mahu datang semula keesokkan hari kejadian untuk melihat CCTV bersama TE.

Malangnya, tiada. Begitu juga esoknya lagi (semalam) pun mengecewakan apabila Sarjan yang bertanggungjawab menguruskan kes TE tidak datang sebaliknya hantar anggotanya yang kemudian hanya TE seorang diri menonton CCTV.

Selepas berpinar mata tengok CCTV selama 2 jam dengan tahan lapar dan dahaga, TE hanya pulang ke rumah dengan hampa.

Pagi tadi TE buat laporan polis ketiga untuk menyatakan lagi barang yang dicuri iaitu kamera video Canon, kamera Lumix Panasonic dan smart tag.

Namun, meskipun 3 laporan polis sudah dibuat apakah tindakan polis seterusnya? 

Pihak JMB dengan pengawal keselamatan buat bodoh saja. Tiada tindakan susulan. 

Beginilah nasib golongan marhaen terpaksa pasrah dengan apa yang berlaku tanpa sebarang tindakan lanjut pihak JMB mahupun polis.

Memang kes samun sering berlaku di mana saja tetapi apakah tindakan seterusnya? 

Sepatutnya, Sarjan berkenaan berjanji mahu menghubungi saya semula untuk berbincang lanjut kes saya ini tetapi malangnya habuk pun tarak! 

Bersambung....

- TE

Friday, 13 November 2015

Bahagian 1: Apabila Setan Malam Jumaat Bertandang...

Sebut Malam Jumaat, kaum Adam yang sudah beristeri pantas tersengih teringat memori daun pisang.

Memori apa itu masing-masing punya cerita dalam kain yang tak perlu dikongsi dengan orang lain.

Kisah malam Jumaat juga sebenarnya menimpa TE dengan satu musibah.

Kisahnnya apabila TE pulang ke rumah jam 5.30 petang semalam mendapati kunci mangga pada pintu grill rumah sudah tiada dan tidak berkunci.

Begitu juga pintu utama hadapan sudah terkopek di tepi lubang kuncinya. 

Sebaik melangkah masuk, TE memang sudah tidak sedap hati dan menjerit... Hoi!!!!!!!

Tiada siapa yang menyapa. TE terus ke bilik tidur utama mendapati pakaian dalam almari berselerak di atas lantai dan di atas katil.

Pelbagai barang lain termasuk beg dan laci juga bersepah. 

Satu iPad 2, satu iPad mini, dua loket emas, satu gelang jed, satu beg tangan Coach, duit simpanan termasuk tabung duit syiling anak dikebas penyamun yang layak dipanggil setan! 

Bilik kerja TE juga jadi mangsa apabila komputer riba bersama beg komuter itu dan wifi Yes serta telefon bimbit Blackberry turut dicuri.

Sejurus kejadian TE segera ke pejabat maintenance untuk membuat laporan sebelum naik semula ke lokasi kejadian bersama jaga dan seorang pekerja penyelenggaraan.

Selepas jaga dan pekerja penyelenggaraan itu melihat lokasi kejadian, TE terus menghubungi talian 999 memaklumkan kejadian itu sebelum dua anggota polis beruniform datang membuat pemeriksaan.

TE diminta membuat laporan polis di IPD Sentul kerana berdekatan dengan rumah.

Selepas aduan dibuat jam 6.46 petang, dua anggota pakaian preman datang ke rumah jam 10 malam untuk menyiasat terperinci dengan mengambil contoh cap jari di beberapa tempat seperti suis lampu, kotak telefon bimbit dan pintu almari tetapi gagal mengesan sebarang cap jari.

Memang licik setan ini buat kerja sehingga TE menjadi mangsa keempat yang dipecah masuk di kawasan bertatus pangsapuri.

Macamana 4 kes pecah rumah boleh berlaku dalam masa terdekat di dalam kawasan pangsapuri yang mempunyai ramai jaga kebanyakkan adalah warga Nepal manakala penghuni juga membayar duit maintenance setiap bulan. 

Apakah jaga tidur dan dimaklumkan pihak badan pengurusan bersama (JMB) hanya CCTV dalam lif bomba saja berfungsi manakala satu lif lagi tidak. 

Siapa yang harus dipersalahkan? Malam ini satu pertemuan akan diadakan dengan pengerusi penduduk.

Bersambung....

- TE














 

Saturday, 17 October 2015

Astro atau Technician - Siapa Lebih Cap Ayam?

Astro oh Astro apa masalah kau sebenarnya?

Cerita pelanggan Astro buat aduan pasal perkhidmatan penyelenggaraan yang lembab macam siput dah lali pada jutaan rakyat Malaysia yang jadi pelanggan setia kononnya.

Kesian bila budak customer service Astro selalu jadi mangsa maki pelanggan.

TE juga tidak terkecuali banyak kenangan manis sejak guna dekoder biasa, Astro Max sehingga Beyond.

Sebagai stesen TV berbayar nombor 1 negara sudah tentu Astro berusaha mempertingkat kualiti perkhidmatan mereka daripada pelbagai aspek.

Namun, apa pula tindakan mereka terhadap aduan pelanggan jam 11.52 pagi (Sabtu) tetapi sehingga jam 7 malam, pelanggan terpaksa buat panggilan sekali lagi selepas tunggu 7 jam tanpa siaran TV.

Kata budak customer service, report sudah dibuat tetapi dia tidak pasti sama ada report itu sampai ke pengetahuan technician kawasan aduan pelanggan terbabit atau tidak.

TE tanya lagi, apakah proses mereka sebaik terima aduan? 

Berapa lama masa diambil untuk aduan itu sampai ke pengetahuan technician yang ditugaskan untuk menghubungi pelanggan berkenaan?

Apakah Indeks Prestasi Utama (KPI) terhadap customer service dan penyelenggaraan?

TE lebih bersikap profesional tidak mahu maki customer service sebaliknya beri cadangan pada budak itu bagitau bosnya untuk fikirkan pasal KPI perkhidmatan Astro pada pelanggan yang buat aduan.

Sama ada cadangan TE itu sekadar sembang kosong dalam temubual itu (kononnya perbualan mungkin dirakam) terpulang pada Astro.

Ingatlah, dalam cabaran dunia semakin maju apatah lagi impak teknologi maklumat semakin pantas, Astro juga berdepan dengan pesaing yang lebih hebat.

Ramai rakyat Malaysia melanggan Astro sebab terpaksa sebab tiada pilihan. 

Hargailah duit yang dibayar pelanggan walaupun 1 sen tetapi bila dikumpul Astro memunggut keuntungan jutaan ringgit. 

Jadi, bila untung banyak jangan pula dilabel cap ayam atau paling mudah tuding jari masalah pelanggan pada technician ataupun kata pelanggan sendiri tak faham sampai emosi lebih.

Kalaulah aku CEO Astro apakah berdepan masalah kelewatan tehnician yang sama... Mungkin tidak!

- TE


Tuesday, 6 October 2015

Jadi Malas Ketika Zon Selesa

Hidup tanpa matlamat umpama memandu kereta tanpa destinasi yang dituju.

Mengapa masih ramai daripada kita hidup tanpa matlamat atau kita ada matlamat tetapi sukar untuk mencapainya.

Jutawan Internet yang juga pakar motivasi, Irfan Khairi berkongsi panduan dalam Facebooknya menyatakan orang menjadi malas kerana tidak mempunyai matlamat.

Begitu juga, jika mahu mengikis sikap malas, mereka perlu bersama rakan yang dapat membantu bersama mencapai matlamat itu.

Malah, beliau juga mengatakan mereka yang berada dalam zon selesa akan mengakibatkan dia menjadi malas.

Seorang lagi pakar motovasi terkenal, Dr Azizan Osman berkongsi panduan dalam mencapai matlamat, ia perlu dinyatakan secara jelas.

Ini bermakna, katanya jika kita berdoa kepada Tuhan, kita harus jelas apa yang kita mahu.

Penting juga, doa itu dimohon berulang kali agar ia dimakbulkan.

Moga kita semua tidak lagi menjadi pemalas dan sentiasa ada matlamat untuk dicapai meskipun sudah berada di zon selesa.

- TE

Monday, 28 September 2015

Bawa Lori Ayam Atau Audi Tiada Beza

Tajuk utama akhbar tersohor, Utusan Malaysia hari ini, 'Kami sudah bosan' menyatakan reaksi akhbar itu mewakili suara masyarakat negara ini yang serik dengan isu jerebu akibat perbuatan negara jiran yang masih tiada kesudahan.

Perkataan bosan memang paling tepat digunakan terhadap isu atau masalah jika ianya tiada penghujung.

Malah, masyarakat juga sebenarnya bosan terhadap isu kesesakan lalu lintas yang lebih menyeksakan berlaku ketika musim perayaan.

Apakah soal trafik sesak ketika balik kampung ketika musim perayaan atau cuti umum yang bersambung cuti hujung minggu adalah lumrah pada masyarakat negara ini untuk menerimanya sebagai satu perkara biasa.

Persoalan, sampai bila perkara biasa ini harus ditelan masyarakat yang semakin bertambah populasi termasuk pengguna kenderaan.

TE sendiri berdepan senario yang sama termasuk anak saudara TE yang bertolak menaiki bas dari Jeli, Kelantan pada jam 7 pagi semalam sebelum tiba di Kuala Lumpur jam 2 pagi.

Beberapa kenalan TE juga mengatakan kesesakan lalu lintas kali ini akibat cuti Aidiladha adalah suatu yang luar biasa.

Jika soal jerebu ketika ini dipersalahkan pada negara jiran, bagaimana pun isu trafik sesak?

Sebelum ini, ada yang berkongsi panduan balik jam 3 pagi, jalan raya lebih lancar tetapi sebenarnya tanggapan itu sudah tidak boleh pakai.

Bayangkan 1 juta pengguna balik waktu pagi manakala 1 juta pengguna lagi ketika petang serta 1 juta pengguna lagi pada sebelah malam.

Jadi, yang mana satu laluan pilihan kita? 

Apakah juga pilihan kita sebagai pengguna jalan raya yang membayar tol dan cukai kepada kerajaan?

Moga pihak berwajib terus memikirkan jalan penyelesaian terhadap masalah masyarakat ini yang tidak mampu untuk semuanya balik kampung menaiki kapal terbang.

Sama ada bawa lori ayam, Porsche, Audi atau Axia, sesak tetap sesak. Tiada beza.

- TE

Tuesday, 22 September 2015

Syabas Majalah 3!

Sebut cerita berkonsep majalah dokumentari di televisyen, program terkenal, Majalah 3 terbitan TV3 menjadi pilihan ramai penonton.

Banyak kali Majalah 3 menghasilkan laporan khas dan eksklusif yang mempunyai tarikan tinggi penonton.

Semalam, Majalah 3 membawakan kisah masyarakat Melayu Champa di Kemboja.

Meskipun kisah ini bukanlah cerita baru untuk disampaikan pada penonton tetapi aspek penyampaian dan olahan Majalah 3 terhadap kisah yang sama membuatkan penonton terhibur.

Bagi mereka yang terlepas menontonnya semalam, ia memaparkan kisah masyarakat di sana menyambut Aidiladha.

Mungkin kita pernah mendengar atau tahu wujud wakil dalam kalangan kita yang bertanggungjawab mengutip sumbangan orang ramai untuk membeli lembu sebagai ibadah korban di sana.

Begitu juga, Majalah 3 menunjukkan proses ibadah korban itu dilaksanakan dari melihat lembu yang dipilih untuk dijual sebagai korban sehingga menjadi juadah kepada penduduk kampung di situ.

Melihat lembu disembelih untuk ibadah korban adalah perkara biasa tetapi apa yang menyentuh perasaan penonton adalah ia menjadi juadah yang mahal buat penduduk kampung untuk menikmati makanan yang lazat.

Bayangkan, mereka yang selama ini hanya makan ikan berpeluang menikmati daging lembu yang hanya dihidangkan dengan nasi tanpa sayur selepas solat Zohor pada Aidiladha.

Sambil ketua kampung itu mengucapkan syukur dan berterima kasih pada pembeli lembu dari Malaysia, lebih tersentuh melihat kanak-kanak seusia 4 tahun dengan gembira menjamah masakan daging lembu.

Apa yang digambarkan, masyarakat Melayu Champa yang fasih berbahasa Melayu sebenarnya masih hidup dalam keadaan daif.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani dan nelayan serta kerja kampung untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Moga kisah mereka menjadi pengajaran pada kita sebagai rakyat Malaysia yang sepatutnya berasa syukur atas nikmat yang ada.

Apapun, tahniah buat produksi Majalah 3 dan Primeworks Studio atas penerbitan episod kali ini.


- TE 

Tuesday, 15 September 2015

'Tauke' Facebook Tunjuk Meja Kerja!

Bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang bisnes dan teknologi maklumat, nama Mark Zuckerberg cukup tersohor sebagai usahawan yang berjaya menarik perhatian ramai di seluruh dunia.

Hasil ciptaannya iaitu laman sosial Facebook kini mempunyai 1.18 bilion pengguna di mana-mana saja yang menggunakannya sebagai medium sosial dan komunikasi paling efektif untuk menghubungkan semua rakan mahupun pelbagai berita.

Namun, tahukah anda sejak Facebook dilancarkan pada 4 Februari 2004, kita mungkin membayangkan suasana kerja di pejabat Zuckerberg di Menio Park, California yang mesti kelihatan mewah, eksklusif dan serba moden.

Buat pertama kalinya, Zuckerberg mempertontonkan kepada khalayak pejabatnya menerusi satu rakaman video dimuat naiknya beberapa jam lalu.

Dalam rakaman itu, apa yang menarik perhatian ramai adalah pejabat Zuckerberg tidak seperti pejabat korporat lain yang tampil dengan imej mewah dan eksklusif.

Sebaliknya, ia kelihatan seperti sebuah gudang dan paling penting apa yang ingin dikongsinya adalah ruang pejabat terbuka untuk semua kakitangannya.

Lebih mengujakan penonton yang menonton rakaman ini adalah Zuckerberg juga menunjukkan mejanya hanya sama seperti staf yang lain! 

Tiada bilik besar dan khas diciptakannya sebagai pengasas dan juga ketua pegawai eksekutif (CEO).

Bak kata pepatah, pemimpin melalui teladan, Zuckerberg mahukan konsep pejabat terbuka dipraktikkan sebagai stafnya sendiri melihat suasana kerja yang lebih terbuka.

Sikap kerja positif Zuckerberg ini sepatutnya dicontohi majikan lain agar lebih mementingkan produktiviti kerja berbanding menjadi bos yang mempunyai bilik besar dihiasi pelbagai aksesori mewah tetapi tidak memikirkan masa depan syarikat serta kebajikan pekerja!

Video berkenaan boleh ditonton di sini: 

- TE

Wednesday, 9 September 2015

Awas Kopitiam Cap Ayam!

Sebut nama kopitiam, di mana-mana saja ada.

Ramai peniaga mahu buka restoran berkonsepkan nama kopitiam yang lazimnya menjual kopi, roti bakar dan telur setengah masak. 

Namun, jika dibuat tinjauan berapa banyak restoran kopitiam yang berjaya menambat selera pengunjung, jawapannya pasti mengecewakan.

Bagi TE, kebanyakkan kopitiam yang ada sekadar tangkap muat. 

Maksudnya, mereka tidak mempelbagaikan menu makanan dan minuman yang dijual sama ada menggunakan resipi sendiri ataupun melakukan sesuatu inovasi menjadi menu baru.

TE sempat mencuba satu restoran kopitiam ini yang agak terkenal dalam kalangan pengunjung dan mempunyai banyak cawangan.

Secara peribadi, makanan seperti nasi ayam, mi kari dan nasi tomatonya tidaklah sesedap mana seperti dalam gambar menu.

TE orang Ipoh. Jadi, warga Ipoh memang cukup juara bila sembang pasal mi kari mana yang sedap sebabnya mi kari adalah menu wajib sarapan pagi.

Berbalik kepada restoran kopitiam tadi, TE sendiri terkejut apabila air teh o ais limau dijual pada harga RM5.20! 

Terus terang, kalau nak kata rasanya hebat gila memang taklah tetapi persoalannya mengapa harga segelas air itu dijual terlalu mahal? 

Nak kata TE minum di KLIA, mungkin juga harganya sebegitu tetapi bukan. 

Ada kawan TE kata mungkin teh atau limau dalam air itu 'istimewa' yang diimport dari tempat yang jauh.

Bagi TE, ini bukan soal kalau tak mampu bayar kenapa makan di situ, tetapi soalnya jangan anggap pengunjung yang datang boleh sesuka hati dikenakan harga yang mahal. 

Apa yang diharapkan insiden ini menjadi pengajaran pada orang lain agar lebih berhati-hati dengan taktik kopitiam seperti ini.

Teringat TE dengan seorang peniaga (sebenarnya salah seorang pengurus kopitiam) di sebuah kampung terpencil yang berjaya tarik perhatian ramai pengunjung datang kerana makanannya memang sedap dan pengunjung dengan rela hati untuk membayarnya. 

- TE


Saturday, 5 September 2015

Dollah Letak Jawatan Tepat...

Nampaknya mimpi ngeri penyokong Harimau Malaya terhadap prestasi buruk ketika menentang UAE berakhir seketika apabila jurulatih Dollah Salleh meletakkan jawatan sebaik tiba di tanah air.

Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam statusnya di Facebook sebentar tadi turut mengatakan langkah Dollah letak jawatan  adalah tepat! 

Malah, beliau juga menyatakan akan memanggil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberikan laporan prestasi pasukan Kebangsaan.


Jika dinilai semula prestasi Harimau Malaya pada perlawanan itu yang berkesudahan 10-0 memang cukup memalukan sehingga ramai peminat tidak sanggup menerima kekalahan kali ini. 

Mungkin keputusan Dollah untuk letak jawatan dianggap tepat tetapi tindakan seterusnya perlu diberi perhatian lebih serius sama ada pengurusan FAM dan kredibiliti jurulatih serta pemain agar mengembalikan kepercayaan peminat. 

- TE

Sunday, 30 August 2015

Maxis Tolong Jangan Perbodohkan Pengguna Setia!

Zaman sekarang bukan suatu yang pelik melihat sesiapa saja pakai telefon pintar yang mempunyai teknologi skrin sentuh.

Bukan juga pelik lihat promoter pusat membeli belah terkenal mempunyai iPhone 6 atau pekerja Bangladesh juga bergaya sentuh skrin telefon pintar mereka.

Situasi sebegitu menunjukkan bukan bermakna mereka yang pakai telefon pintar adalah orang kaya tetapi kemudahan melayari Internet lebih menarik perhatian pengguna.

Namun, persoalan timbul pakej pasca bayar atau pra bayar mana yang lebih bagus untuk pilihan pengguna?

TE sendiri pengguna pasca bayar Maxis sejak lebih sedekad sebelum itu juga sedekad bersama Celcom.

Namun, TE ingin berkongsi perasaan kecewa terhadap Maxis menerusi perkhidmatan kuota Internet mereka.

Tahukah anda, pengguna Maxis yang mengambil plan Iphone6 boleh memilih kuota Internet 4GB untuk tempoh sebulan atau kuota itu habis cepat mengikut masa penggunaan.

Untuk TE, Maxis akan memperbaharui kuota Internet setiap kali masuk 7 haribulan.

Tahukah anda apa akan terjadi apabila kuota Internet sudah habis dipakai?

Secara logik pengguna akan memikirkan untuk membeli tambahan kuota dengan caj tambahan seperti RM48 untuk 1GB.

Malah, sebagai alternatif sepatutnya pengguna boleh memperbaharui kuota baru jika membuat bayaran penuh tanpa menunggu tarikh 7 haribulan berkenaan.

Namun, jawapan yang diberikan staf bahagian khidmat pelanggan Maxis cukup mengecewakan apabila menyatakan "kuota hanya diperbaharui sekali dalam sebulan dan tidak ada kena mengena dengan bayaran bil!."

Apakah staf Maxis ini waras dengan apa yang diperkatakannya? 

Mungkin staf ini tak sedar atau kurang diberi latihan secukupnya mengenai situasi pengguna telefon pintar pada zaman sekarang lebih kepada menggunakan Internet berbanding membuat panggilan.

Persoalan yang TE ajukan mengapa jika bil sudah dibayar penuh tetapi kuota Internet tidak boleh diperbaharui segera dan sebagai peringatan jangan sesekali berkata pada pengguna tidak faham soal "kuota Internet tiada kaitan dengan bil".

Sebagai makluman untuk staf Maxis, pengguna setia seperti TE menggunakan kuota Internet bukan PERCUMA atau sebagai hadiah gores dan menang! 

Sebaliknya, TE sama seperti pengguna telekomunikasi lain yang MEMBAYAR setiap perkhidmatan yang digunakan.

Jangan menyusahkan pengguna apabila pengguna sendiri sudah menjelaskan bayaran bil dan berusahalah memberi perkhidmatan terbaik serta mesra pelanggan!

TE berharap insiden ini menjadi panduan pada pengguna lain agar lebih berhati-hari dengan taktik licik syarikat telekomunikasi seperti Maxis ini yang tidak menghargai erti KESETIAAN sebagai pengguna! 

- TE 




Thursday, 13 August 2015

China Ada Lebuh Raya Paling Cantik

Bagi mereka yang pernah melancong ke Beijing, pasti sedar atau terlintas di fikiran terhadap bandar itu mempunyai jalan raya yang begitu cantik dan bersih.

Maksud cantik, ia tidak seperti di Kuala Lumpur yang kebanyakkan mempunyai permukaan jalan tinggi dan rendah sehingga lebih parah lubang merata tempat yang boleh mengundang risiko kemalangan.

Seperti Beijing, China juga berbangga apabila satu lagi lebuh raya baru dibina merentasi lautan yang memberikan permandangan cukup indah. 

Lebuh raya baru itu terletak di daerah Hubei dibuka kepada pengguna pada Ahad lalu menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang menyatakan komen ia adalah jalan raya paling cantik di China.

Menurut maklumat dikongsi CCTV News di Facebook, lebuh raya berkenaan merangkumi jarak sejauh 10.9 kilometer dan lebih menarik, jarak 4.4 kilometer di Lebuh Raya Guzhao itu dibina di atas air.

Difahamkan, kerajaan tempatan membelanjakan hampir $440 juta yuan atau bersamaan AS$70 juta untuk projek pembinaan lebuh raya tersebut.

Ia menghubungkan kawasan kampung dengan kawasan ke bandar dan paling penting, ia dibina tanpa merosakkan alam sekitar seperti mana dilaporkan Chinanews.

Hebat bukan? bukan saja cantik dan menganggumkan tetapi masih mempunyai nilai sayangkan alam sekitar.

Meskipun kita mengkritik negara sendiri tetapi cuba fikir secara positif dan terbuka serta mengambil contoh negara lain untuk kebaikkan negara sendiri pada masa akan datang.


- TE

Saturday, 1 August 2015

Berdoa Tuhan Selamatkan Malaysia


Ketika ini, sesiapa saja tak kira usia, latar belakang atau di mana-mana bercakap isu negara. 

Dulu bila sembang isu negara, ia hanya sesuai jadi topik golongan pakcik-pakcik di kedai kopi tetapi kini ia seolah bualan wajib bila bersembang termasuk ketika berkunjung ke rumah terbuka sempena Aidilfitri.

Sejak isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih dalam siasatan sehingga rombakan kabinet menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, nampaknya makin ramai yang tertarik untuk memperkatakan apa yang sebenarnya berlaku terhadap Malaysia, tanah tumpahnya negaraku.

Sebentar tadi juga Mufti Perlis, Datuk Dr Asri atau Dr Maza berkongsi status terbarunya di Facebook mengenai pertemuannya dengan TSMY dan apa yang meninggalkan persoalan ramai adalah statusnya. 

Apakah yang sebenarnya berlaku dan siapakah yang berada di pihak benar? 

Seperti kata Dr Maza, marilah kita berdoa agar Tuhan selamatkan negara kita tercinta. Insha Allah. 

- TE





Friday, 24 July 2015

Tragedi RM10 Suratan Atau Kebetulan

Nak percaya atau tidak? Rupanya duit RM10 kita mempunyai ramalan masa depan yang menjadi nyata.

Alkisah, sebelum ini apabila berlaku insiden kapal tangki MT Orkim Harmony yang dirampas lanun, ada pengguna media sosial beranggapan ia adalah petanda duit RM10.

Jika diteliti gambar di belakang duit RM10 memang tertera gambar kapal tangki dan lebih menyakinkan apabila gambar kapal terbang MAS juga ada di situ yang memberi gambaran pada insiden MH370 dan MH17.

Selepas tiga tragedi, ada yang membuat ramalan sesuatu akan berlaku pada keretapi transit aliran ringan (LRT) dan ia ternyata benar apabila insiden dua gerabak LRT terbakar, baru-baru ini.

Lebih menimbulkan persoalan apabila logo kijang merujuk Bank Negara Malaysia (BNM) juga seolah memberi jawapan insiden kejatuhan matawang negara.

Apapun, ramalan ini umpama mimpi yang menjadi mainan tidur. Moga Malaysia terus maju, rakyat terpelihara dan kehidupan kita dirahmati Tuhan.

- TE

Wednesday, 22 July 2015

13 Rahsia Jadi CEO Sukses

Ada individu yang selesa makan gaji. Ada juga memilih bekerja sendiri untuk mendapatkan lebih kepuasan dan pendapatan lebih besar.

Namun, berdepan kegagalan dalam perniagaan mahupun dikritik sebagai pemimpin tidak seharusnya mematahkan semangat sendiri untuk berjaya.

Berikut 13 kata-kata motivasi dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terkenal yang berjaya atas prinsip mereka sendiri sebagai pemimpin dan ahli perniagaan yang berpandangan jauh.

- TE
(Sumber: blog.exabytes.com.my)

Tuesday, 21 July 2015

Keluarga Lebih Dari Darah - Nescafe

Ketika tiba Aidilfitri, ramai penonton menantikan iklan menarik di televisyen yang meraikan perayaan berkenaan.

Jika suatu ketika dulu, Petronas dikategori sebagai 'juara' dalam iklan raya kerana sentuhan Allahyarham Yasmin Ahmad yang berjaya mengusik perasaan penonton.

Bagi Aidilfitri kali ini, iklan Nescafe pula mencuri tumpuan ramai dengan kisah pendek memaparkan betapa penting nilai kekeluargaan dalam sesuatu hubungan.

Menariknya, iklan kali ini menampilkan aksi pelakon popular Indonesia, Nicholas Saputra bersama Hasnul Rahmat.

Mengambil latar belakang satu kumpulan yang melakukan aktiviti perkhemahan, ia mengisahkan seorang lelaki muda yang merindui keluarga tetapi akhirnya menyedari orang sekeliling juga adalah umpama seperti keluarga yang sedia membantu apabila berdepan kesulitan.

Ikuti iklan Nescafe di sini:

- TE

Saturday, 18 July 2015

10 Foto Menarik Sambutan Aidilfitri Seluruh Dunia

Pelbagai aktiviti dan kemeriahan sambutan Aidilfitri diraikan.

Tidak ketinggalan, Aidilfitri dikongsi masyarakat Islam di seluruh dunia yang bersama meraikan perayaan ini.

Berikut 10 foto menarik dikongsi Washington Post mengenai sambutan Aidilfitri di beberapa negara masyarakat Islam lain.

1. Jerusalem
Seorang lelaki berpakaian badut bermain dengan seorang kanak-kanak perempuan Palestin berdekatan Dome of the Rock, Jerusalem. (Foto: Ammar Awad/Reuters)

2. Afganistan
Masyarakat Afganistan beriadah di taman permainan di City Park, Kabul. (Foto: Wakil Kohsar/AFP/Getty Images)

3. Syria
Kanak-kanak Syria tetap gembira menyambut lebaran di Kem Pelarian Zaatari, Mafraq, Jordan. (Foto: Muhammad Hamed/Reuters)

4. Gaza
Tiga beradik kanak-kanak Palestin bergaya di sebalik runtuhan bangunan di Shijaiyeh berdekatan Gaza. (Foto: Khalil Hamra/AP)

5. Romania
Seorang kanak-kanak perempuan bermain belon di Bucharest, Romania. (Foto: Vadim Ghirda/AP)

6. New York
Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Brooklyn Prospect Park. (Foto: Jewel Samad/AFP/Getty Images)

7. Kenya
Pelarian Somali bersolat Aidilfitri beramai-ramai di Sekolah Tinggi Eastleigh, Nairobi, Kenya. (Foto: Boniface Mwangi/Reuters)

8. Kosovo
Kanak-kanak turut menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid Sultan Mehmet Fatih di Pristina, Kosovo. (Foto: Armend Nimani/AFP/Getty Images)

9. Nigeria
Warga Nigeria mengambil gambar 'selfie' sebelum solat sunat Aidilfitri di Lagos, Nigeria. (Foto: Sunday Alamba/AP)

10. Itali
Golongan wanita bersalaman dan berpelukan sesama sendiri meraikan sambutan Aidilfitri di Saluzzo, Itali berdekatan Turin. (Foto: Marco Bertorello/AFP/Getty Images)

- TE