Tuesday, 22 September 2015

Syabas Majalah 3!

Sebut cerita berkonsep majalah dokumentari di televisyen, program terkenal, Majalah 3 terbitan TV3 menjadi pilihan ramai penonton.

Banyak kali Majalah 3 menghasilkan laporan khas dan eksklusif yang mempunyai tarikan tinggi penonton.

Semalam, Majalah 3 membawakan kisah masyarakat Melayu Champa di Kemboja.

Meskipun kisah ini bukanlah cerita baru untuk disampaikan pada penonton tetapi aspek penyampaian dan olahan Majalah 3 terhadap kisah yang sama membuatkan penonton terhibur.

Bagi mereka yang terlepas menontonnya semalam, ia memaparkan kisah masyarakat di sana menyambut Aidiladha.

Mungkin kita pernah mendengar atau tahu wujud wakil dalam kalangan kita yang bertanggungjawab mengutip sumbangan orang ramai untuk membeli lembu sebagai ibadah korban di sana.

Begitu juga, Majalah 3 menunjukkan proses ibadah korban itu dilaksanakan dari melihat lembu yang dipilih untuk dijual sebagai korban sehingga menjadi juadah kepada penduduk kampung di situ.

Melihat lembu disembelih untuk ibadah korban adalah perkara biasa tetapi apa yang menyentuh perasaan penonton adalah ia menjadi juadah yang mahal buat penduduk kampung untuk menikmati makanan yang lazat.

Bayangkan, mereka yang selama ini hanya makan ikan berpeluang menikmati daging lembu yang hanya dihidangkan dengan nasi tanpa sayur selepas solat Zohor pada Aidiladha.

Sambil ketua kampung itu mengucapkan syukur dan berterima kasih pada pembeli lembu dari Malaysia, lebih tersentuh melihat kanak-kanak seusia 4 tahun dengan gembira menjamah masakan daging lembu.

Apa yang digambarkan, masyarakat Melayu Champa yang fasih berbahasa Melayu sebenarnya masih hidup dalam keadaan daif.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani dan nelayan serta kerja kampung untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Moga kisah mereka menjadi pengajaran pada kita sebagai rakyat Malaysia yang sepatutnya berasa syukur atas nikmat yang ada.

Apapun, tahniah buat produksi Majalah 3 dan Primeworks Studio atas penerbitan episod kali ini.


- TE 

No comments:

Post a Comment