Monday, 28 September 2015

Bawa Lori Ayam Atau Audi Tiada Beza

Tajuk utama akhbar tersohor, Utusan Malaysia hari ini, 'Kami sudah bosan' menyatakan reaksi akhbar itu mewakili suara masyarakat negara ini yang serik dengan isu jerebu akibat perbuatan negara jiran yang masih tiada kesudahan.

Perkataan bosan memang paling tepat digunakan terhadap isu atau masalah jika ianya tiada penghujung.

Malah, masyarakat juga sebenarnya bosan terhadap isu kesesakan lalu lintas yang lebih menyeksakan berlaku ketika musim perayaan.

Apakah soal trafik sesak ketika balik kampung ketika musim perayaan atau cuti umum yang bersambung cuti hujung minggu adalah lumrah pada masyarakat negara ini untuk menerimanya sebagai satu perkara biasa.

Persoalan, sampai bila perkara biasa ini harus ditelan masyarakat yang semakin bertambah populasi termasuk pengguna kenderaan.

TE sendiri berdepan senario yang sama termasuk anak saudara TE yang bertolak menaiki bas dari Jeli, Kelantan pada jam 7 pagi semalam sebelum tiba di Kuala Lumpur jam 2 pagi.

Beberapa kenalan TE juga mengatakan kesesakan lalu lintas kali ini akibat cuti Aidiladha adalah suatu yang luar biasa.

Jika soal jerebu ketika ini dipersalahkan pada negara jiran, bagaimana pun isu trafik sesak?

Sebelum ini, ada yang berkongsi panduan balik jam 3 pagi, jalan raya lebih lancar tetapi sebenarnya tanggapan itu sudah tidak boleh pakai.

Bayangkan 1 juta pengguna balik waktu pagi manakala 1 juta pengguna lagi ketika petang serta 1 juta pengguna lagi pada sebelah malam.

Jadi, yang mana satu laluan pilihan kita? 

Apakah juga pilihan kita sebagai pengguna jalan raya yang membayar tol dan cukai kepada kerajaan?

Moga pihak berwajib terus memikirkan jalan penyelesaian terhadap masalah masyarakat ini yang tidak mampu untuk semuanya balik kampung menaiki kapal terbang.

Sama ada bawa lori ayam, Porsche, Audi atau Axia, sesak tetap sesak. Tiada beza.

- TE

Tuesday, 22 September 2015

Syabas Majalah 3!

Sebut cerita berkonsep majalah dokumentari di televisyen, program terkenal, Majalah 3 terbitan TV3 menjadi pilihan ramai penonton.

Banyak kali Majalah 3 menghasilkan laporan khas dan eksklusif yang mempunyai tarikan tinggi penonton.

Semalam, Majalah 3 membawakan kisah masyarakat Melayu Champa di Kemboja.

Meskipun kisah ini bukanlah cerita baru untuk disampaikan pada penonton tetapi aspek penyampaian dan olahan Majalah 3 terhadap kisah yang sama membuatkan penonton terhibur.

Bagi mereka yang terlepas menontonnya semalam, ia memaparkan kisah masyarakat di sana menyambut Aidiladha.

Mungkin kita pernah mendengar atau tahu wujud wakil dalam kalangan kita yang bertanggungjawab mengutip sumbangan orang ramai untuk membeli lembu sebagai ibadah korban di sana.

Begitu juga, Majalah 3 menunjukkan proses ibadah korban itu dilaksanakan dari melihat lembu yang dipilih untuk dijual sebagai korban sehingga menjadi juadah kepada penduduk kampung di situ.

Melihat lembu disembelih untuk ibadah korban adalah perkara biasa tetapi apa yang menyentuh perasaan penonton adalah ia menjadi juadah yang mahal buat penduduk kampung untuk menikmati makanan yang lazat.

Bayangkan, mereka yang selama ini hanya makan ikan berpeluang menikmati daging lembu yang hanya dihidangkan dengan nasi tanpa sayur selepas solat Zohor pada Aidiladha.

Sambil ketua kampung itu mengucapkan syukur dan berterima kasih pada pembeli lembu dari Malaysia, lebih tersentuh melihat kanak-kanak seusia 4 tahun dengan gembira menjamah masakan daging lembu.

Apa yang digambarkan, masyarakat Melayu Champa yang fasih berbahasa Melayu sebenarnya masih hidup dalam keadaan daif.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai petani dan nelayan serta kerja kampung untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Moga kisah mereka menjadi pengajaran pada kita sebagai rakyat Malaysia yang sepatutnya berasa syukur atas nikmat yang ada.

Apapun, tahniah buat produksi Majalah 3 dan Primeworks Studio atas penerbitan episod kali ini.


- TE 

Tuesday, 15 September 2015

'Tauke' Facebook Tunjuk Meja Kerja!

Bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang bisnes dan teknologi maklumat, nama Mark Zuckerberg cukup tersohor sebagai usahawan yang berjaya menarik perhatian ramai di seluruh dunia.

Hasil ciptaannya iaitu laman sosial Facebook kini mempunyai 1.18 bilion pengguna di mana-mana saja yang menggunakannya sebagai medium sosial dan komunikasi paling efektif untuk menghubungkan semua rakan mahupun pelbagai berita.

Namun, tahukah anda sejak Facebook dilancarkan pada 4 Februari 2004, kita mungkin membayangkan suasana kerja di pejabat Zuckerberg di Menio Park, California yang mesti kelihatan mewah, eksklusif dan serba moden.

Buat pertama kalinya, Zuckerberg mempertontonkan kepada khalayak pejabatnya menerusi satu rakaman video dimuat naiknya beberapa jam lalu.

Dalam rakaman itu, apa yang menarik perhatian ramai adalah pejabat Zuckerberg tidak seperti pejabat korporat lain yang tampil dengan imej mewah dan eksklusif.

Sebaliknya, ia kelihatan seperti sebuah gudang dan paling penting apa yang ingin dikongsinya adalah ruang pejabat terbuka untuk semua kakitangannya.

Lebih mengujakan penonton yang menonton rakaman ini adalah Zuckerberg juga menunjukkan mejanya hanya sama seperti staf yang lain! 

Tiada bilik besar dan khas diciptakannya sebagai pengasas dan juga ketua pegawai eksekutif (CEO).

Bak kata pepatah, pemimpin melalui teladan, Zuckerberg mahukan konsep pejabat terbuka dipraktikkan sebagai stafnya sendiri melihat suasana kerja yang lebih terbuka.

Sikap kerja positif Zuckerberg ini sepatutnya dicontohi majikan lain agar lebih mementingkan produktiviti kerja berbanding menjadi bos yang mempunyai bilik besar dihiasi pelbagai aksesori mewah tetapi tidak memikirkan masa depan syarikat serta kebajikan pekerja!

Video berkenaan boleh ditonton di sini: 

- TE

Wednesday, 9 September 2015

Awas Kopitiam Cap Ayam!

Sebut nama kopitiam, di mana-mana saja ada.

Ramai peniaga mahu buka restoran berkonsepkan nama kopitiam yang lazimnya menjual kopi, roti bakar dan telur setengah masak. 

Namun, jika dibuat tinjauan berapa banyak restoran kopitiam yang berjaya menambat selera pengunjung, jawapannya pasti mengecewakan.

Bagi TE, kebanyakkan kopitiam yang ada sekadar tangkap muat. 

Maksudnya, mereka tidak mempelbagaikan menu makanan dan minuman yang dijual sama ada menggunakan resipi sendiri ataupun melakukan sesuatu inovasi menjadi menu baru.

TE sempat mencuba satu restoran kopitiam ini yang agak terkenal dalam kalangan pengunjung dan mempunyai banyak cawangan.

Secara peribadi, makanan seperti nasi ayam, mi kari dan nasi tomatonya tidaklah sesedap mana seperti dalam gambar menu.

TE orang Ipoh. Jadi, warga Ipoh memang cukup juara bila sembang pasal mi kari mana yang sedap sebabnya mi kari adalah menu wajib sarapan pagi.

Berbalik kepada restoran kopitiam tadi, TE sendiri terkejut apabila air teh o ais limau dijual pada harga RM5.20! 

Terus terang, kalau nak kata rasanya hebat gila memang taklah tetapi persoalannya mengapa harga segelas air itu dijual terlalu mahal? 

Nak kata TE minum di KLIA, mungkin juga harganya sebegitu tetapi bukan. 

Ada kawan TE kata mungkin teh atau limau dalam air itu 'istimewa' yang diimport dari tempat yang jauh.

Bagi TE, ini bukan soal kalau tak mampu bayar kenapa makan di situ, tetapi soalnya jangan anggap pengunjung yang datang boleh sesuka hati dikenakan harga yang mahal. 

Apa yang diharapkan insiden ini menjadi pengajaran pada orang lain agar lebih berhati-hati dengan taktik kopitiam seperti ini.

Teringat TE dengan seorang peniaga (sebenarnya salah seorang pengurus kopitiam) di sebuah kampung terpencil yang berjaya tarik perhatian ramai pengunjung datang kerana makanannya memang sedap dan pengunjung dengan rela hati untuk membayarnya. 

- TE


Saturday, 5 September 2015

Dollah Letak Jawatan Tepat...

Nampaknya mimpi ngeri penyokong Harimau Malaya terhadap prestasi buruk ketika menentang UAE berakhir seketika apabila jurulatih Dollah Salleh meletakkan jawatan sebaik tiba di tanah air.

Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam statusnya di Facebook sebentar tadi turut mengatakan langkah Dollah letak jawatan  adalah tepat! 

Malah, beliau juga menyatakan akan memanggil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memberikan laporan prestasi pasukan Kebangsaan.


Jika dinilai semula prestasi Harimau Malaya pada perlawanan itu yang berkesudahan 10-0 memang cukup memalukan sehingga ramai peminat tidak sanggup menerima kekalahan kali ini. 

Mungkin keputusan Dollah untuk letak jawatan dianggap tepat tetapi tindakan seterusnya perlu diberi perhatian lebih serius sama ada pengurusan FAM dan kredibiliti jurulatih serta pemain agar mengembalikan kepercayaan peminat. 

- TE