Sunday, 30 August 2015

Maxis Tolong Jangan Perbodohkan Pengguna Setia!

Zaman sekarang bukan suatu yang pelik melihat sesiapa saja pakai telefon pintar yang mempunyai teknologi skrin sentuh.

Bukan juga pelik lihat promoter pusat membeli belah terkenal mempunyai iPhone 6 atau pekerja Bangladesh juga bergaya sentuh skrin telefon pintar mereka.

Situasi sebegitu menunjukkan bukan bermakna mereka yang pakai telefon pintar adalah orang kaya tetapi kemudahan melayari Internet lebih menarik perhatian pengguna.

Namun, persoalan timbul pakej pasca bayar atau pra bayar mana yang lebih bagus untuk pilihan pengguna?

TE sendiri pengguna pasca bayar Maxis sejak lebih sedekad sebelum itu juga sedekad bersama Celcom.

Namun, TE ingin berkongsi perasaan kecewa terhadap Maxis menerusi perkhidmatan kuota Internet mereka.

Tahukah anda, pengguna Maxis yang mengambil plan Iphone6 boleh memilih kuota Internet 4GB untuk tempoh sebulan atau kuota itu habis cepat mengikut masa penggunaan.

Untuk TE, Maxis akan memperbaharui kuota Internet setiap kali masuk 7 haribulan.

Tahukah anda apa akan terjadi apabila kuota Internet sudah habis dipakai?

Secara logik pengguna akan memikirkan untuk membeli tambahan kuota dengan caj tambahan seperti RM48 untuk 1GB.

Malah, sebagai alternatif sepatutnya pengguna boleh memperbaharui kuota baru jika membuat bayaran penuh tanpa menunggu tarikh 7 haribulan berkenaan.

Namun, jawapan yang diberikan staf bahagian khidmat pelanggan Maxis cukup mengecewakan apabila menyatakan "kuota hanya diperbaharui sekali dalam sebulan dan tidak ada kena mengena dengan bayaran bil!."

Apakah staf Maxis ini waras dengan apa yang diperkatakannya? 

Mungkin staf ini tak sedar atau kurang diberi latihan secukupnya mengenai situasi pengguna telefon pintar pada zaman sekarang lebih kepada menggunakan Internet berbanding membuat panggilan.

Persoalan yang TE ajukan mengapa jika bil sudah dibayar penuh tetapi kuota Internet tidak boleh diperbaharui segera dan sebagai peringatan jangan sesekali berkata pada pengguna tidak faham soal "kuota Internet tiada kaitan dengan bil".

Sebagai makluman untuk staf Maxis, pengguna setia seperti TE menggunakan kuota Internet bukan PERCUMA atau sebagai hadiah gores dan menang! 

Sebaliknya, TE sama seperti pengguna telekomunikasi lain yang MEMBAYAR setiap perkhidmatan yang digunakan.

Jangan menyusahkan pengguna apabila pengguna sendiri sudah menjelaskan bayaran bil dan berusahalah memberi perkhidmatan terbaik serta mesra pelanggan!

TE berharap insiden ini menjadi panduan pada pengguna lain agar lebih berhati-hari dengan taktik licik syarikat telekomunikasi seperti Maxis ini yang tidak menghargai erti KESETIAAN sebagai pengguna! 

- TE 




Thursday, 13 August 2015

China Ada Lebuh Raya Paling Cantik

Bagi mereka yang pernah melancong ke Beijing, pasti sedar atau terlintas di fikiran terhadap bandar itu mempunyai jalan raya yang begitu cantik dan bersih.

Maksud cantik, ia tidak seperti di Kuala Lumpur yang kebanyakkan mempunyai permukaan jalan tinggi dan rendah sehingga lebih parah lubang merata tempat yang boleh mengundang risiko kemalangan.

Seperti Beijing, China juga berbangga apabila satu lagi lebuh raya baru dibina merentasi lautan yang memberikan permandangan cukup indah. 

Lebuh raya baru itu terletak di daerah Hubei dibuka kepada pengguna pada Ahad lalu menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang menyatakan komen ia adalah jalan raya paling cantik di China.

Menurut maklumat dikongsi CCTV News di Facebook, lebuh raya berkenaan merangkumi jarak sejauh 10.9 kilometer dan lebih menarik, jarak 4.4 kilometer di Lebuh Raya Guzhao itu dibina di atas air.

Difahamkan, kerajaan tempatan membelanjakan hampir $440 juta yuan atau bersamaan AS$70 juta untuk projek pembinaan lebuh raya tersebut.

Ia menghubungkan kawasan kampung dengan kawasan ke bandar dan paling penting, ia dibina tanpa merosakkan alam sekitar seperti mana dilaporkan Chinanews.

Hebat bukan? bukan saja cantik dan menganggumkan tetapi masih mempunyai nilai sayangkan alam sekitar.

Meskipun kita mengkritik negara sendiri tetapi cuba fikir secara positif dan terbuka serta mengambil contoh negara lain untuk kebaikkan negara sendiri pada masa akan datang.


- TE

Saturday, 1 August 2015

Berdoa Tuhan Selamatkan Malaysia


Ketika ini, sesiapa saja tak kira usia, latar belakang atau di mana-mana bercakap isu negara. 

Dulu bila sembang isu negara, ia hanya sesuai jadi topik golongan pakcik-pakcik di kedai kopi tetapi kini ia seolah bualan wajib bila bersembang termasuk ketika berkunjung ke rumah terbuka sempena Aidilfitri.

Sejak isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih dalam siasatan sehingga rombakan kabinet menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) disingkirkan sebagai Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini, nampaknya makin ramai yang tertarik untuk memperkatakan apa yang sebenarnya berlaku terhadap Malaysia, tanah tumpahnya negaraku.

Sebentar tadi juga Mufti Perlis, Datuk Dr Asri atau Dr Maza berkongsi status terbarunya di Facebook mengenai pertemuannya dengan TSMY dan apa yang meninggalkan persoalan ramai adalah statusnya. 

Apakah yang sebenarnya berlaku dan siapakah yang berada di pihak benar? 

Seperti kata Dr Maza, marilah kita berdoa agar Tuhan selamatkan negara kita tercinta. Insha Allah. 

- TE