Thursday, 4 June 2015

Petik Gitar Lagu Yesterday - The Beatles Ketika Pembedahan Otak

Lagu bukan saja hiburan kosong pada pendengar. Malah, lagu juga mampu menjadi peneman jiwa di kala berdepan sebarang kesulitan seperti melalui pembedahan otak!

Memang macam tak percaya tetapi itu adalah pengalaman sebenar dilalui seorang pekerja bank dari Brazil yang mengejut doktor apabila memainkan lagu popular The Beatles berjudul Yesterday bersama gitarnya ketika sedang menjalani pembedahan.

Merujuk laporan The Telegraph, Anthony Kulkamp Dias, 33, masih sedar ketika pembedahan membuang ketumbuhan dalam kepala dijalankan sambil mendendangkan lagu tersebut kepada pasukan doktor yang membedahnya.

Malah, dia juga memainkan lagu Emanuel iaitu lagu yang ditulis untuk anaknya yang baru lahir termasuk lagu 'country' Brazil.

"Doktor bertanyakan pada saya untuk memainkan lagu 'country' sekali lagi," katanya kepada portal berita Brazil, G1.

Difahamkan, Kulkamp bermain gitar secara profesional selama 20 tahun, menyedari dia mempunyai ketumbuhan otak atau tumor dalam tempoh 15 hari selepas anaknya lahir beberapa bulan lalu.

Pada minggu lalu, dia melalui pembedahan dalam keadaan sedar sambil bermain gitar di atas perutnya.

"Saya bermain enam lagu pada sesuatu masa. Tangan kanan saya agak lemah apabila pembedahan dijalankan.

"Jadi, saya berhenti dan berehat. Saya bermain muzik dan bercakap dengan doktor," katanya.

Khabarnya, doktor membenarkan pesakit dalam keadaan sedar untuk mengatasi sebarang kecederaan terhadap otak.

"Ia suatu yang mengejut semua dan pembedahan dilakukan dengan berjaya," kata seorang jurucakap dari Hospital Nossa Senhora Da Conceicao di Santa Catarina.

Pengarah Klinikal, Dr Jean Abreu Machado pula berkata:

"Dengan membenarkan pesakit sedar ketika pembedahan, kawasan pembedahan boleh dipantau lebih jelas dan ia memudahkan proses pembedahan itu dijalankan.

"Ia memberikan cabaran yang hebat kepada semua anggota pasukan bedah termasuk pakar bius."

Katanya, tisu otak tidak mempunyai rasa sakit kecuali pada kulit dan struktur lain.

"Pada masa berkenaan, cabaran kepada pakar bius untuk memastikan pesakit sedar dan tidak berasa sakit," katanya.

- TE
(Foto: The Telegraph)

No comments:

Post a Comment