Individu yang berjaya dalam hidup sama ada mempunyai kedudukan tinggi dan kaya sentiasa mempunyai formula serta cara permikiran berbeza.
Begitu juga cara berfikir Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg yang bukan sahaja bijak mencipta aplikasi laman sosial popular dunia itu tetapi mempunyai citarasa tersendiri dalam menambah ilmu pengetahuan.
Memang benar, proses pembelajaran dan menimba ilmu tiada noktah.
Begitu juga Zuckerberg yang memilih buku sejarah Islam, The Muqaddimah yang pernah ditulis Ibnu Khaldun sebagai bahan bacaan pilihannya.
Dalam status terkini di akaunnya itu baru-baru ini, beliau menjelaskan buku sejarah itu menarik untuk dibaca apabila ia ditulis tokoh ilmuan Islam itu yang pernah hidup pada tahun 1300.
"Ia memfokuskan bagaimana masyarakat dan perkembangan budaya termasuk kewujudan bandar, politik, perdagangan dan sains," katanya dalam status tersebut.
Malah, beliau berpandangan ia adalah suatu yang menarik untuk memahami apa yang berlaku pada masa kini dan secara keseluruhan dalam satu kehidupan bersama.
Menjadi ikon kepada masyarakat dunia, Zuckerberg memilih buku tersebut sebagai senarai bacaan dimuatkan dalam senarai 'A Year of Books' iaitu satu komuniti di Facebook yang mengajak orang ramai membaca buku baru setiap dua minggu.
Menerusi komen dalam status berkenaan, pengguna Facebook beragama Islam memuji niat murni Zuckerberg itu yang memilih bahan bacaan terbaik.
"Ibnu Khaldun adalah antara individu pertama yang menjelaskan teori evolusi, berani mengkritik mengenai apa yang salah sama ada mengenai politik atau agama," kata seorang lagi pengguna Facebook.
- TE
No comments:
Post a Comment