Tuesday, 23 June 2015

Pengorbanan Besar Amy Search Sebagai Rockers!

Sempena Ramadan, umat Islam dituntut memperbanyakkan amalan selain solat fardu 5 waktu. 

Keberkatan Ramadan termasuk mengerjakan solat Terawih memang suatu yang dinantikan pada umat Islam untuk menambah amalan.

Kita sebagai manusia sudah pasti tidak sempurna walaupun kaya dan sihat tubuh badan. 

Di sebalik melakukan solat, kita juga seharusnya memikirkan cara melakukan kebaikan pada orang lain. Mungkin pertolongan yang diberikan tidak seberapa tetapi ia mungkin memberi makna besar pada penerima.

Begitu juga alkisah penyanyi rock tersohor, Amy Search yang dilaporkan media hari ini, beliau sudah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memulakan operasi sekolah tahfiz, Al-Bayan School of Quran & Hadith di Sungai Buloh.

Masha Allah! betapa besar sumbangan beliau terhadap masa depan pelajar tahfiz. Malah, bayangkan apabila setiap pelajar tahfiz ini sering mengaji al-Quran yang memberi keberkatan tidak terkira kepada beliau selaku penyumbang.

Amy atau nama sebenar, Suhaimi Abdul Rahman, 57, menyatakan niatnya menubuhkan sekolah itu untuk mendidik anak-anak menghafal al-Quran dan Hadis.

Sekolah berkenaan yang dibuka untuk pelajar berusia 7 sehingga 15 tahun turut diberi pendedahan pengajian bahasa Arab, Sains dan Matematik.

Alhamdulillah. Hasrat murni Amy terhadap sumbangan besar ini suatu yang patut dijadikan contoh pada pihak lain sama ada individu, tokoh korporat dan badan organisasi.

Tidak guna kita mengumpul harta dunia dan duit setinggi gunung tetapi kesudahannya tidak memberikan manfaat dalam membantu orang lain seperti pelajar Tahfiz ini.

Siapa sangka Amy yang dulu cukup popular sebagai penyanyi rock dengan seluar jeans ketat dan berambut panjang boleh mengubah corak kehidupannya kini. 

Amy adalah selebriti contoh pada masyarakat. Moga usia Amy dipanjangkan dan diberi kesihatan yang baik. Syabas Amy! 

Gua caya sama lu. Pewittt...

- TE

Sunday, 21 June 2015

Aktor Furious 7 Rai Ramadan Bersama

Menterjemah dan menghayati Islam sebagai seorang muslim sememangnya mempunyai perspektif berbeza.

Begitu juga, kisahnya pelakon popular Furious 7, Tyrese Gibson yang juga sahabat kepada mendiang Paul Walker yang sebenarnya sudah mendekatkan diri dengan Islam sejak setahun lalu.

Sempena kehadiran Ramadan kali ini, Gibson turut memuat naik statusnya di laman sosial Instagram (IG) sebagai mengucapkan selamat berpuasa kepada semua muslim di seluruh dunia yang juga mengikuti IG miliknya.

"Ramadan Mubarak kepada semua muslim di seluruh dunia.... Saya sayang kamu... Saya sayang kamu! Ikhlas! Moga diberkati insha Allah untuk anda dan keluarga anda," katanya.

Difahamkan, Gibson sudah menjadi muslim sejak awal tahun 2014 dan keputusannya untuk menjadi mualaf dibuat selepas dia berkunjung ke Dubai bersama Will Smith dan Maxwell.
Betapa besar kebesaran Allah kepada seluruh hambanya termasuk mereka yang tergerak hati memeluk Islam.

Moga Ramadan kali ini juga membuka hati dan memberi hidayah kepada sesiapa saja untuk mendalami Islam sebenarnya selain muslim memperbanyakkan amalan kepada Nya.

Mengajar orang lain melakukan kebaikan sepatutnya bukan dengan cara menyalahkan perbuatan yang dibuat tetapi jika kita sendiri sebagai orang berilmu seharusnya menjelaskan kebaikkan dan kelebihan yang diperoleh jika melakukan sesuatu kebaikkan itu.

Insha Allah. Moga Ramadan kali ini terbaik untuk kita semua.

- TE

Friday, 19 June 2015

Lahir Pembikin Filem Berfikiran Universal & Berbeza

Pembikin filem tempatan digesa berfikir secara universal berbanding hanya fokus pada penonton tempatan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman dalam satu forum anjuran pembikin filem Perancis di Kuala Lumpur, semalam.

Merujuk kepada laporan Bernama, Kamil menyatakan Malaysia mempunyai potensi menghasilkan filem untuk tarik perhatian masyarakat dunia tetapi mereka perlu mula berfikir dengan cara berbeza.

Bersifat universal dan berfikir cara berbeza menjadi dua elemen penting untuk menghasilkan filem bertaraf antarabangsa.

Bagi TE, jika dibuat kajian terhadap filem tempatan secara keseluruhan, pembikin filem tempatan lebih memilih acuan sama iaitu kononnya mengikut selera penonton tempatan dan ini terjadi apabila trend filem seperti komedi dan seram kita sebenarnya bersifat stereotaip sehingga syok sendiri.

Siapa yang berani menghasilkan filem ikut acuan Hollywood termasuk menggunakan bajet besar tetapi gagal tarik perhatian penonton tempatan.

Kewujudan FINAS yang menyediakan pelbagai latihan setiap tahun dari aspek asas dan profesional menerusi 'masterclass' suatu yang mendatangkan banyak manfaat pada semua warga seni sama ada menghasilkan skrip, lakonan, pengarahan dan teknikal.

Pada 2 April lalu juga Malaysia Content Pitching Centre diwujudkan yang beroperasi di Platinum Sentral menjadi platform skrip berkualiti dikumpulkan.

Masyarakat selaku penonton pastinya menantikan hasil daripada tempat baru ini untuk menghasilkan filem bertaraf dunia bersama kreativiti pembikin filem tempatan.

Menjadi harapan ramai pencinta filem tempatan agar tempat baru ini tidak sekadar satu lambang kemegahan tetapi tiada hasil sehingga suatu hari nanti hanya menjadi muzium.

Apapun, kita tunggu dan lihat hasilnya nanti...

- TE




Wednesday, 17 June 2015

Nostalgia Bazar Bulat Tetap Segar Dalam Ingatan

Setiap daripada kita pasti mempunyai nostalgia zaman kanak-kanak yang masih terpahat dalam ingatan.

Begitu juga TE membesar di Ipoh, Perak yang terkenal dengan masyarakat 1Malaysia bersama keunikkan makanan dan bangunan bersejarah.

Suatu ketika dulu pada zaman 80-an, Ipoh mempunyai banyak lokasi bersejarah seperti Taman Dr Seenivasagam, Dataran Ipoh (berdepan Stesen Keretapi), Super Kinta dan tidak ketinggalan, Bazar Bulat (seperti dalam gambar di atas).

Bagi orang Ipoh, Bazar Bulat memang cukup popular dan sinonim sebagai lokasi jualan beg sekolah; pelbagai kasut - sekolah, penguin, kasut bola; jual limau bali dan paling popular, Restoran Nasi Ayam Fuziah.

TE teringat selepas pekena nasi ayam pasti singgah sebentar di kedai sebelah bermain video game Street Fighter atau bola yang dikenakan bayaran 20 sen. 

Paling meriah, apabila tiba Ramadan ramai yang mengambil kesempatan berbuka di restoran nasi ayam ini yang cukup dikenali sejak hampir 4 dekad.

Kini, Bazar Bulat hanya tinggal kenangan apabila ia sudah dirobohkan sejak sekian lama tetapi restoran berkenaan masih wujud hanya berpindah di lokasi berdekatan.

Meskipun Bazar Bulat sudah tiada tetapi kenangan setiap sudut, suasana dan kemeriahan di sana masih segar dalam ingatan.

Bagi mereka yang berkunjung ke Ipoh jangan lupa singgah pekena nasi ayam hebat ini. Mereka yang sudah mencuba pasti mahu datang lagi dan yang belum pernah, boleh mencuba.

Selamat berpuasa esok! Insha Allah ada kelapangan TE pasti pulang lepas rindu dengan nasi ayam ini. 

- TE




Tuesday, 16 June 2015

Harimau Malaya Terkulai...

"Farizal Marlias terkulai lagi," kata pengulas sukan Astro Arena.

Teringat lagu popular KRU suatu ketika dulu - Salah Siapa? 

Apakah hanya kita mengharapkan magis penjaga gol kita untuk menangkap segala serangan hebat pasukan Palestin!

Apa yang jelas, pasukan kita dibelasah teruk selepas Palestin mula menjaringkan gol pertama minit ke-9 sehingga bolos 6 gol. 

Walaupun kita mempunyai pemain berpengalaman tetapi nyata masih banyak kelemahan dari aspek fokus, kemahiran, stamina dan paling penting taktikal bermain dalam satu pasukan.

Apa percaturan jurulatih Dollah Salleh terhadap pemain ketika latihan? Apakah pemain kita tidak belajar daripada cara permainan sebelum ini atau menonton pasukan hebat lain bermain? 

Terlalu banyak persoalan bermain di fikiran sebagai penonton dan peminat. 

Secara keseluruhan, Palestin menunjukkan corak permainan bertaraf antarabangsa sehingga kini berada tangga ketiga kumpulan A dibelakang Arab Saudi dan UAE untuk saingan Kelayakan Piala Dunia 2018.

Sebagai renungan bersama, kita perlu akui kelemahan pasukan Harimau Malaya khusus di bahagian pertahanan. 

Bukan soal menang sokong, kalah cemuh tapi kita perlu fikir positif untuk terima teguran peminat. Moga Harimau Malaya terus belajar daripada kesilapan.

Majulah sukan untuk negara!

- TE


Duo Malaysia Beraksi Penutup SEA

Sembang lagu tempatan yang diangkat sebagai tema dalam temasya sukan dunia pasti mengingatkan kita lagu Standing In The Eyes Of The World yang pernah popular ketika penganjuran Sukan Komenwel di Kuala Lumpur pada 1998.

Lagu berkenaan cukup terkesan pada ramai pendengar apabila liriknya memberikan motivasi dan suatu yang melambangkan betapa kita berbangga sebagai rakyat Malaysia menjadi penganjur bertaraf dunia.

Begitu juga, acara penutup Sukan Sea di Singapura pada malam ini dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi tempatan Najwa Mahiaddin bersama Loq Butterfingers.

Kemunculan Najwa turut menarik perhatian Menteri Belia Sukan, Khairy Jamaluddin yang mengucapkan semoga berjaya menerusi status di Twitter.

Apapun, mereka mewakili negara membawa makna mendalam apatah lagi Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 nanti.

Mungkin juga nanti mereka tampil dengan lagu tema terbaru yang setanding hebat dengan Standing In The Eyes Of The World. 

- TE
(Foto: Joe Saiful - Facebook)

Wednesday, 10 June 2015

JDT Gah Bersama 'Optimus Prime'

Sekali pandang memang terdetik rasa kagum. Memang hebat pasukan JDT.

Selepas membentuk pasukan terdiri pemain terbaik yang mempunyai pengalaman bermain pasukan Kebangsaan, JDT sekali lagi memberikan keterujaan pada peminat mereka dengan jentera trak milik DYMM Sultan Ibrahim (Sultan Johor).

Menerusi status laman Facebook - Johor Southern Tigers baru-baru ini memuat naik gambar trak berkenaan yang menggunakan konsep merah, biru dan putih dipertontonkan kepada umum di Queensland, Australia.

Khabarnya, trak berkenaan dibeli baginda di Australia dengan warna asal putih sebelum dicat sama seperti JDT Cigarette Speed Boat memaparkan bayangan harimau dan warna rasmi negeri Johor iaitu merah, biru dan putih serta simbol bulan dan bintang.

TE bukanlah rakyat Johor tetapi sebagai peminat bola sepak tumpang bangga dengan perkembangan bola sepak JDT.

Seperti TE katakan JDT bukan saja mengumpulkan barisan pemain terbaik dan berpengalaman tetapi fokus Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam aspek pembangunan bola sepak negeri itu suatu yang membanggakan buat semua rakyat negeri itu.

Apapun, sekali pandang memang trak JDT mempunyai wajah seiras ketua Autobot, Optimus Prime! 




- TE


Aksi Neelofa Buat Peminat Geram

Selepas TE berkongsi kisah pelakon dan pengacara jelita, Neelofa mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat yang berkunjung ke butik tudungnya, kali ini dia juga mencuri perhatian ramai peminat menerusi aksi terbarunya di YouTube.

Menariknya, aksi Neelofa jadi tumpuan gara-gara dia mengayakan lagu popular, Kun Anta nyanyian asal Humood AlKundher.

Khabarnya, penyanyi asal itu berada di negara ini dan sempat ditanya media tempatan apabila mengakui tahu aksi Neelofa itu yang dirakam dalam kereta.

Klip video yang dimuat naik tiga minggu lalu ditonton hampir setengah juta pengunjung laman sosial itu.

Sama ada Neelofa menyanyi serius atau sekadar suka-suka, aksinya itu tetap ditagih ramai peminat yang teruja dan geram menatap wajah comel aktres ini.

Saksikan aksinya di sini: http://youtu.be/F5fs-NWhT6w

- TE




Sunday, 7 June 2015

Neelofa Buat Peminat Jatuh Cinta Pandang Pertama

Ada apa dengan jenama? Boleh ke jenama mengubah nasib dan masa depan seseorang untuk berjaya dalam hidup.

Jawapannya ya. Mereka yang berniaga tidak kira jual produk atau perkhidmatan, jenama sangat penting apatah lagi pemilihan nama yang komersial dan 'catchy' mampu buat pelanggan jatuh cinta pandang pertama.

Begitu juga alkisah pelakon dan pengacara tv popular, Neelofa yang berjinak dengan bisnes jual tudung di lokasi Jalan Wan Kadir 4, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Jika difikirkan, bisnes tudung sudah berlambak tak kira di mana-mana tempat mahupun secara online di Facebook.

Namun, Neelofa bijak menggunakan namanya sebagai jenama produknya juga strategi kepada pembeli berpotensi khusus peminatnya.

TE sempat berkunjung ke premis perniagaan selebriti yang mempunyai renungan mata sungguh menggoda ini semalam dan melihat sambutan pengunjung cukup menggalakkan.

Apa yang jelas, kebanyakan pengunjung yang hadir pasti membawa buah tangan sebelum keluar iaitu sekurangnya membeli satu tudung sebagai koleksi.

Ada rakan TE kata, rekaan tudung Naelofar tidaklah terlalu menarik tetapi jenama itu sendiri membuatkan ia bersifat eksklusif dan menjadi kemestian walaupun hanya membeli sehelai.

Daripada pemerhatian TE, memang ramai wanita tidak kira bertudung mahupun tidak bertudung juga mencuba dan membeli tudung.

Bukan saja pengunjung sibuk memilih, ibu Neelofa juga sibuk di kaunter menerima rezeki daripada bisnes mereka.

Begitulah betapa hebat penangan nama Neelofa atau nama jenama tudungnya - Naelofar apabila populariti yang diraih dalam industri hiburan juga membantunya raih pulangan lumayan dalam bisnes tudung.

Fikirkan secara positif, sesuatu yang boleh kita belajar untuk memulakan bisnes walaupun bukan artis tetapi kita harus bijak mencari peluang jana pendapatan dan paling penting memilih jenama sesuai sebagai tarikan pada pembeli.

Syabas Neelofa dan moga terus maju jaya dalam karier serta menamatkan zaman dara nanti.









- TE
(Foto: iPhone6)




Friday, 5 June 2015

Mengenang Momen Indah Kehidupan

Di kala usia masih muda, kita berasa gagah, sihat, kacak dan jelita.

Malah, kita berbangga dengan paras rupa dimiliki dan yakin menjadi seorang yang hebat.

Namun, Tuhan sudah aturkan putaran kehidupan seseorang itu pasti melalui zaman bayi, kanak-kanak, dewasa, usia emas dan seterusnya meninggal dunia.

Sebagai menghargai kehidupan yang dilalui, Lite FM menerusi laman Facebook mereka berkongsi beberapa gambar dan ilustrasi menarik untuk kita hayati bersama momen indah sebuah kehidupan.










- TE

Thursday, 4 June 2015

Petik Gitar Lagu Yesterday - The Beatles Ketika Pembedahan Otak

Lagu bukan saja hiburan kosong pada pendengar. Malah, lagu juga mampu menjadi peneman jiwa di kala berdepan sebarang kesulitan seperti melalui pembedahan otak!

Memang macam tak percaya tetapi itu adalah pengalaman sebenar dilalui seorang pekerja bank dari Brazil yang mengejut doktor apabila memainkan lagu popular The Beatles berjudul Yesterday bersama gitarnya ketika sedang menjalani pembedahan.

Merujuk laporan The Telegraph, Anthony Kulkamp Dias, 33, masih sedar ketika pembedahan membuang ketumbuhan dalam kepala dijalankan sambil mendendangkan lagu tersebut kepada pasukan doktor yang membedahnya.

Malah, dia juga memainkan lagu Emanuel iaitu lagu yang ditulis untuk anaknya yang baru lahir termasuk lagu 'country' Brazil.

"Doktor bertanyakan pada saya untuk memainkan lagu 'country' sekali lagi," katanya kepada portal berita Brazil, G1.

Difahamkan, Kulkamp bermain gitar secara profesional selama 20 tahun, menyedari dia mempunyai ketumbuhan otak atau tumor dalam tempoh 15 hari selepas anaknya lahir beberapa bulan lalu.

Pada minggu lalu, dia melalui pembedahan dalam keadaan sedar sambil bermain gitar di atas perutnya.

"Saya bermain enam lagu pada sesuatu masa. Tangan kanan saya agak lemah apabila pembedahan dijalankan.

"Jadi, saya berhenti dan berehat. Saya bermain muzik dan bercakap dengan doktor," katanya.

Khabarnya, doktor membenarkan pesakit dalam keadaan sedar untuk mengatasi sebarang kecederaan terhadap otak.

"Ia suatu yang mengejut semua dan pembedahan dilakukan dengan berjaya," kata seorang jurucakap dari Hospital Nossa Senhora Da Conceicao di Santa Catarina.

Pengarah Klinikal, Dr Jean Abreu Machado pula berkata:

"Dengan membenarkan pesakit sedar ketika pembedahan, kawasan pembedahan boleh dipantau lebih jelas dan ia memudahkan proses pembedahan itu dijalankan.

"Ia memberikan cabaran yang hebat kepada semua anggota pasukan bedah termasuk pakar bius."

Katanya, tisu otak tidak mempunyai rasa sakit kecuali pada kulit dan struktur lain.

"Pada masa berkenaan, cabaran kepada pakar bius untuk memastikan pesakit sedar dan tidak berasa sakit," katanya.

- TE
(Foto: The Telegraph)

Mark Zuckerberg Timba Ilmu Sejarah Islam

Individu yang berjaya dalam hidup sama ada mempunyai kedudukan tinggi dan kaya sentiasa mempunyai formula serta cara permikiran berbeza.

Begitu juga cara berfikir Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg yang bukan sahaja bijak mencipta aplikasi laman sosial popular dunia itu tetapi mempunyai citarasa tersendiri dalam menambah ilmu pengetahuan.

Memang benar, proses pembelajaran dan menimba ilmu tiada noktah.

Begitu juga Zuckerberg yang memilih buku sejarah Islam, The Muqaddimah yang pernah ditulis Ibnu Khaldun sebagai bahan bacaan pilihannya.

Dalam status terkini di akaunnya itu baru-baru ini, beliau menjelaskan buku sejarah itu menarik untuk dibaca apabila ia ditulis tokoh ilmuan Islam itu yang pernah hidup pada tahun 1300.

"Ia memfokuskan bagaimana masyarakat dan perkembangan budaya termasuk kewujudan bandar, politik, perdagangan dan sains," katanya dalam status tersebut.

Malah, beliau berpandangan ia adalah suatu yang menarik untuk memahami apa yang berlaku pada masa kini dan secara keseluruhan dalam satu kehidupan bersama.

Menjadi ikon kepada masyarakat dunia, Zuckerberg memilih buku tersebut sebagai senarai bacaan dimuatkan dalam senarai 'A Year of Books' iaitu satu komuniti di Facebook yang mengajak orang ramai membaca buku baru setiap dua minggu.

Menerusi komen dalam status berkenaan, pengguna Facebook beragama Islam memuji niat murni Zuckerberg itu yang memilih bahan bacaan terbaik.

"Ibnu Khaldun adalah antara individu pertama yang menjelaskan teori evolusi, berani mengkritik mengenai apa yang salah sama ada mengenai politik atau agama," kata seorang lagi pengguna Facebook.

- TE

Wednesday, 3 June 2015

Siapa Sanggup Ikut Jupe Telanjang?

Apabila penyanyi seksi Indonesia, Julia Perez atau Jupe beritahu dia sanggup telanjang di stadium jika bola sepak tidak lagi menghairahkan, membuatkan ramai yang terlopong.

Sepintas lalu, fikiran melayang jika Jupe benar-benar mengotakan janjinya itu dan bagaimana rupa aksinya.

Namun, jika difikirkan dari sudut positif, Jupe sebenarnya membawa maksud jelas, dia sangat berminat mahu melihat pasukan bola sepak negaranya maju tanpa skandal dalam sukan itu.

Apakah kita sebagai peminat bola sepak tidak mahu pasukan masing-masing menunjukkan kecemerlangan di peringkat dalam negara mahupun di pentas antarabangsa.

Jupe sebagai selebriti juga meluahkan perasaan yang sama terhadap isu skandal dalam pengurusan dan pemain bola sepak.

Merujuk senario pasukan bola sepak Malaysia sendiri, banyak perkara perlu diperhalusi yang menyumbang kepada faktor prestasi pasukan dan pemain secara individu.

Seperti mana jurutera, doktor dan wartawan, pemain bola sepak juga tergolong dalam kategori pekerja profesional yang sepatutnya menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Namun, apabila masalah seperti gaji, pengurusan tidak profesional dan sikap pemain yang tidak mempunyai disiplin serta tanggungjawab tinggi ketika bermain membuatkan sukan ini menjadi hambar dan tiada masa depan.

Kita mengharapkan pasukan Harimau Malaya dan barisan pemain pelapis negara dapat menunjukkan komitmen tinggi untuk menjadi pemain bertaraf dunia dan bukan sekadar jaguh kampung.

Jika tidak apakah ada selebriti wanita tempatan pula yang sanggup ikut jejak Jupe untuk telanjang? 

Jawapannya sudah tentu tidak kerana hanya Jupe yang berani menyatakannya.

- TE
(Foto: Twitter @juliaperez)