Thursday, 15 September 2016

Lepas Urut Kaki Jadi 'Dok Rok'

Bagaimana agaknya keadaan kita pada usia 88 tahun jika dipanjangkan usia? Apakah kita masih mampu berjalan atau membongkok, boleh solat dengan sempurna, mengidap penyakit 3 serangkai atau hanya menghabiskan sisa hidup di rumah orang tua.

Kisah seorang lelaki tua berusia 88 tahun masih gagah berjalan, mempunyai kudrat melakukan aktiviti berkebun, penglihatan dan pendengaran masih baik, selera makan masih ada dan cuma mengidap gout. 

Akuinya, kudratnya tidak lagi sekuat zaman muda apatah lagi cepat berasa penat tapi setiap pagi, beliau sentiasa pastikan badan kekal bertenaga dengan melakukan aktiviti keluar peluh.

"Badan jadi lemah bila asyik berehat di rumah," katanya yang jelas banyak urat kelihatan timbul pada tangan dan badannya.

Meniti usia emas, beliau sering tertanya pada diri sendiri mengapa orang lain seusia dengannya berjalan bongkok dan kedua tangan ke belakang. Katanya, semakin usia meningkat tulang belakang jadi lembut dan daging menipis sehingga tidak lagi menyokong tulang belakang.

Tak pernah urut ke? Beliau memang tidak suka mengamalkan urut kerana ia akan memberi kesan pada badan menjadi bertambah lemah. 

"Lepas urut kaki jadi 'dok rok'," katanya pernah mengurut hanya sekali pada usia 50-an ketika demam. 

Tambahnya, beliau mengamalkan makan madu setiap pagi untuk kesihatan badan dan tidur atas lantai untuk badan jadi lebih kuat. Moga Allah lanjutkan usia beliau kekal sihat. Beliau adalah bapa mentuaku, Haji Ya Abas. 

- TE

Sunday, 21 August 2016

Jom Cuba Nasi Kukus Paling 'Best'

Hujung minggu nak makan kat mana? Persoalan selalu bermain di fikiran apatah lagi hasrat membawa isteri dengan anak-anak ke tempat makan 'best'. 

'Best' tak semestinya mahal atau di restoran mewah tapi apa yang penting sedap dan berbaloi dengan harganya. Cerita hari ini, isteri TE yang mengandung 4 bulan teringin nak makan nasi kukus sebaik terjaga dari tidur.

Zaman sekarang tak susah cari nasi kukus kerana ia menu 'bersepah' di tepi jalan. Mana-mana pun boleh jumpa tapi ada ke yang boleh dikategori best? 

Isteri rajin cari lokasi makan best kat Facebook dan terjumpa Nasi Kukus Ilham di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. 
Nak ke sana senang je. Guna Waze memang ada dalam senarai lokasinya. Sampai sana jam 11.30 pagi memang ramai dah mula beratur. Wah, mesti sedap ni.

Menu satu nasi kukus tak beza sangat pun. Nasi putih, ayam goreng berempah, sambal belacan tapi kali ini ada sambal ikan bilis dengan nenas. Memang puas hati makan sebab nasi banyak dan ayam pun besar. 
TE syorkan mereka yang memang lapar teringin nak makan nasi kukus boleh cuba datang sini. Oh ya, teh tarik dia pun sedap! Selamat menjamu selera! 


- TE

Wednesday, 6 July 2016

Aidilfitri Bukan Pesta Makanan!

Allahuakhbar! Allahuakhbar! Allahuakhbar!

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat ilahi kita semua berkesempatan menyempurnakan solat sunat Aidilfitri. Di pagi yang indah, tenang dan cuaca tidak panas, mari kita bersama bermaafan dan merapatkan silaturahim dengan kunjung-mengunjung.

Khutbah hari ini menyatakan Aidilfitri adalah hari untuk kita bersyukur pada Allah dan bukannya pesta makanan atau memperagakan pakaian. 

Malah, kita juga diingatkan agar bersimpati mengenang nasib saudara Islam di negara yang berdepan konflik dan kebuluran seperti Syria dan Somalia.

Kepada semua kenalan dan peminat, TE mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri. Maaf zahir & batin. 

Buat tahun kedua, TE tidak beraksi untuk filem alih suara di saluran HBO Astro selepas 3 tahun berturut-turut bersama Smurfs (2012), Madagascar 3: Europe's Most Wanted (2013) dan Despicable Me 2 (2014). Insha Allah TE akan kembali dengan filem kesepuluh. Dah, jom makan ketupat!

Alhamdulillah, berkesempatan berbuka bersama-sama keluarga Haji Ya di Kampung Lubuk Kawah, Besut, Terengganu, kelmarin. 

- TE
Content Producer - Rojak Daily Kaw!
www.rojakdaily.com/kaw
Founder Kafebuzz



Tuesday, 5 July 2016

Bertuah Masih Ada Kampung...

Bila tiba Aidilfitri, kita dibuai pelbagai nostalgia terutama zaman kanak-kanak yang penuh tawa dan paling seronok kumpul duit raya.

TE teringat ketika zaman kanak-kanak, memang raya adalah hari paling seronok sebab dapat pulang ke kampung bermain mercun, makan sedap-sedap dan berkumpul beramai-ramai.

Lemang, rendang ayam, kuih bahulu, kuih bangkit, agar-agar kering dan buah 'kanto' antara menu wajib di Aidilfitri. Teringat arwah opah sebelah ayah senyum melayan kerenah cucu. 

Setiap tahun TE sekeluarga pulang beraya ke kampung Pasir Putih, Ipoh. Suasana kampung ketika itu memang sangat nostalgia. Ada pokok rambutan, durian, manggis, buluh, jamban kat luar rumah dan musang naik atas atap rumah waktu malam.

Mungkin dek keseronokkan waktu itu, jangan sekali bergambar tidak seperti zaman sekarang semua telefon bimbit boleh ambil gambar. TE rindukan nostalgia itu yang hanya ada dalam memori di fikiran.

Meskipun memori zaman kanak-kanak sudah lama berlalu, TE masih bertuah dan bersyukur sebab ketika ini berpeluang raya di kampung yang memang ada suasana kampung dan bukannya kampung di tengah kota metropolitan.

TE percaya ramai yang beraya di kota sayu bila terkenang kampung masing-masing. Bagi mereka yang masih ada kampung, bersyukurlah dan bergumbiralah. Bak kata orang, raya setahun sekali jadi inilah masa terbaik untuk kita berkumpul satu keluarga. 

TE mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari raya pada semua anggota keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan zaman tadika Sungai Tapah, sekolah Manjoi 2, SMDMK, ITM Melaka, UiTM Shah Alam, geng rumah sewa Jalan Ambar Dua, Seksyen 7, Shah Alam, keluarga angkat di Kampung Melayu Batu 16, abangku Mohd Nasir di Kedutaan Malaysia, Khartoum, Sudan dan semua kenalan. 

- TE

Nota kaki: Seronok berkahwin orang jauh boleh merasai pengalaman berbeza. Meskipun jauh tapi rupanya jodoh dekat rumah bff TE di Besut. Alfatihah buat Opah & bff TE yg pergi dulu - kawan zaman degree, Mat Yus (Kuantan) & Shahrul aka Sun (geng Seksyen 7). 😭

Wednesday, 22 June 2016

Bahana Daging Kurma...


Salam Nuzul Quran.

Cuti sehari hari ini memang sangat bermakna khusus mereka yang mempunyai keluarga untuk meluangkan masa bersama. 

Pasti ramai yang merancang berbuka di luar tidak kurang masak di rumah lebih baik dan paling penting dijamin kebersihan.

Anak perempuan TE, Amani sejak ptg semalam sampai pagi tadi dah 10 cirit birit. Tak tau apa puncanya selepas balik dari rumah pengasuh. 

Cerita bab kebersihan mungkin segelinitir peniaga di Bazar Ramadan tak kisah atau malas nak ambil berat pasal perkara ini.

TE sendiri sekeluarga terkena bahana daging masak kurma dibeli di Bazar Ramadan dekat rumah baru-baru ini.

Ketika berbuka rasa daging memang dah liat. Lebih teruk bila baru masuk Isyak lauk tadi dah berbuih! 

Jadi, efek dia pun bermula tengah malam sehingga keesokkan paginya. Paling kasihan anak-anak yang merenget sakit perut.

Persoalan apakah peniaga tahu lauk yg dijual jadi sebegitu? Sebenarnya tidak kira peniaga atau sesiapa saja kita perlu jujur lebih-lebih lagi peniaga.

Ingat pembeli datang membeli bukan menagih simpati untuk dapat makanan secara percuma. Moga jadi pengajaran pada kita semua untuk menjadi insan yang lebih jujur bukan nak menunjuk pada orang lain tapi diri sendiri. 

- TE 

P/s: semalam makan sambal sotong keras yang dibeli di Bazar Ramadan

Tuesday, 7 June 2016

CSR #berikanmasa Singgah KL Sentral

Alhamdulilah. Projek tanggungjawab sosial & korporat (CSR) dijalankan sebilangan kakitangan Astro Digital Publications hari ini berjalan lancar. 

Nampak mudah sebab hanya perlu hantar bungkusan makanan berbuka kepada mereka yang bertugas ketika berbuka tapi cabarannya apabila perlu menguruskan masa dan perjalanan agar semuanya lancar. 

Sebelum bergerak ke lokasi yang dirancang, kami perlu packing barang di pejabat, Menara SSP dan kemudian ke ABC (ibu pejabat Astro).

Sasaran kumpulan kami kali ini di lokasi KL Sentral dan kami berkesempatan memberi juadah berbuka iaitu nasi putih lauk ayam, kurma dan air kotak kepada anggota polis bantuan, staf kaunter KTM, KTM Komunter & LRT. 

Meskipun juadah tak seberapa tetapi bagi mereka yang menerima, terpancar senyuman ikhlas & syukur atas rezeki yang diterima. 

Sesuai dengan tema Astro sempena Ramadan kali ini, #berikanmasa, TE bersama rakan-rakan berkorban meluangkan masa demi tugas.

Namun, di sebalik komitmen kerja sebenarnya aktiviti CSR adalah peluang terbaik untuk staf sesama sendiri lebih mesra satu sama lain. 

- TE

Sunday, 27 March 2016

Siapa Sahabat Anda?

Salam sore... 

Dah lama tak meluahkan perasaan. Dah nama blog apa lagi selain berkongsi emosi sendiri.

Kali ni nak cerita pasal sahabat. Berapa ramai daripada kita mempunyai sahabat.

Belek Facebook, memang ramai jumlah kawan sampaikan mencecah beribu. Dalam contact list handphone pun sama terlalu banyak termasuk individu yang sudah meninggal dunia.

Secara kita sedar atau tidak, dalam banyak kawan di Facebook atau contact list handphone ini sebenarnya hanyalah rakan sembang kedai kopi untuk bergelak tawa. 

Lebih menguji minda apabila berselisih di depan pintu lif pun tak kenal sedangkan dia rakan Facebook kawannya sendiri. 

Habis, siapa pula sahabat? Soalan subjektif, jawapannya juga subjektif.

Bagi TE, sahabat itu seorang yang tidak lokek berhubung dan memberi sokongan antara satu sama lain. 

Berhubung tidak bermakna setiap kali bertentang mata tetapi cukup sekadar bertanya khabar di telefon meskipun sudah lama tak call.

Pentingnya sahabat adalah memberikan kata-kata semangat atau sokongan jika sahabat itu berdepan kesulitan.

Betapa canggih media sosial nampaknya berjaya menemukan kita dengan kawan lama zaman belajar di universiti bukan saja zaman ijazah, diploma, SPM dan UPSR tetapi sehingga zaman tadika sama-sama pun boleh berhubung semula.
Pengalaman TE sendiri, ada kawan zaman universiti begitu sombong ketika whatsapp termasuk rakan lama yang baca mesej tapi bolayan.

Begitulah manusia apabila sikap sombong memang tak dapat dipisahkan. Mungkin individu sebegini berasakan kedudukan dan kemewahan hidup mereka tidak layak untuk bermesej dengan rakan yang bukan sama level.

Tak mengapa. Bumi terus berputar dan roda juga berputar. TE doakan rakan-rakan semuanya dimurahkan rezeki dan bahagia dalam hidup.

Bukan semua orang bahagia dalam hidup walaupun rezeki melimpah. 

Di kesempatan ini, TE mengajak rakan-rakan termasuk peminat mendoakan sahabat karib TE zaman universiti, Shahrul a.k.a Sun agar beliau segera sembuh dan ketika ini beliau masih bertarung nyawa di ICU. 

Astafirulullahalazim. Bagaimana pula nasib kita nanti apabila giliran kita dipanggil Nya. 

- TE




Tuesday, 23 February 2016

Perkhidmatan HUKM Terbaik!

Alhamdulillah. Persoalan sejak seminggu lalu akhirnya terlerai.

Selepas berlaku pendarahan sedikit sejak Isnin minggu lalu kemudian banyak empat hari kemudian, keputusan scan isteri TE sebenarnya menunjukkan keputusan berbeza.

Kata doktor klinik berdekatan rumah, bayi dalam kandungan memang sudah tidak dapat diselamatkan.

'Bayi' itu juga keluar dengan sendiri pada Sabtu lalu tetapi doktor klinik mengatakan ia masih ada di dalam.

Namun, keputusan doktor Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Bahagian OGAEC (kecemasan) lebih tepat apabila keputusan scan menunjukkan 'bayi' sudah keluar sepenuhnya dan tidak perlu melalui proses 'cuci'.

Meskipun tiada rezeki buat TE dan isteri tetapi apa yang paling penting, isteri selamat dan tiada sebarang komplikasi lain. 

Terima kasih dan syabas pada jururawat di situ yang memberi layanan terbaik dan mesra melayan pesakit.

Sejarah anak sulung TE yang lahir di situ 8 tahun lalu termasuk layanan doktor dan jururawat terhadap isteri TE hari ini membuktikan perkhidmatan HUKM adalah terbaik! 

- TE

Monday, 15 February 2016

Nilai Persahabatan Seenak Piza...

Semakin lama kita hidup, permikiran kita juga berubah.

Matang bukan terletak pada usia tapi bagaimana kita melalu fasa kehidupan itu dari hidup zaman bujang, berkahwin, ada anak, masuk usia emas dan mempunyai cucu jika ada.

Begitu juga, rakan saling bersilih ganti. Ada yang layak digelar sahabat kerana nilai persahabatan yang terjalin.

Buat rakan dan sahabat TE sama ada pernah berkenalan sejak zaman tadika, sekolah rendah, menengah, universiti sehingga di tempat bekerja, TE ingin ucapkan berbanyak terima kasih atas ucapan hari lahir TE pada hari ini.

Alhamdulillah. Banyak kenangan sebenarnya setiap daripada kita seperti di saat mula perkenalan sehingga ada yang lupa diri akibat ego dan pangkat serta kepentingan diri.

Tak mengapa. Nama pun manusia sudah tentu sifat dan perangai bermacam-macam.

Teringkat alkisah seorang selebriti tersohor bercerita beliau masih terus berkawan dengan seorang rakan meskipun bermacam tindakan dilakukan insan itu.

Mungkin nilai persahabatan itu sekadar piza yang lazat dijamah seketika.

Moga yang baik dijadikan teladan. Insha Allah. Kita kena berani untuk berubah dan menjadi manusia beriman. 

Terima kasih buat isteri TE yang belanja piza untuk makan malam tadi. 

- TE

Sunday, 24 January 2016

Awas! Depoh Simpanan Kereta Tunda Baru DBKL

Sejak seminggu lalu, TE sering terserempak dengan trak tunda DBKL membawa pelbagai jenis kereta.

Sudah tentu dah namanya trak tunda, kereta yang ditunda dibawa ke Depoh Simpanan yang baru saja dibuka di Sentul. 

Di kawasan berdepan Pangsapuri Melur terletak 2 kilometer dari Depoh Simpanan tadi juga menjadi kawasan 'panas' tumpuan penguatkuasa DBKL yang akan menyaman kereta yang pakir di bahu jalan pada setiap hari! 
TE pernah bertanya pada salah seorang penguatkuasa DBKL mengapa mereka sering menyaman di situ sedangkan banyak kereta lain parkir di kawasan jalan belakang pangsapuri berkenaan yang lebih teruk sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Katanya, mereka hanya menyaman di jalan utama manakala jalan lain hanya dibuat kerja menyaman jika ada aduan orang ramai.

Alahai... mengapa kes saman boleh pilih kasih ikut jalan tertentu sedangkan kenderaan yang parkir di garisan kuning di bahu jalan tetap salah tidak kira di jalan utama atau tidak. 
Apapun, TE ucap syabas pada Datuk Bandar Kuala Lumpur jika mahu melakukan operasi saman ini secara lebih serius tetapi biarlah ia dilakukan tanpa sikap pilih kasih jalan tertentu.

Seperkara yang perlu diberi perhatian utama DBKL adalah masih ada kereta terbiar di kawasan kediaman Bandar Baru Sentul di sini yang sudah sekian lama bertapak di situ termasuk bas! 
Jadi, ambillah tindakan sewajarnya agar orang ramai menghormati tugas DBKL bukan sebab pilih kasih. 

- TE

Saturday, 16 January 2016

Cara Daftar Haji Guna KWSP

Setiap muslim yang menjalankan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah pastinya mempunyai keinginan untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Namun, tahukah anda pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam boleh mendaftar haji dengan Tabung Haji.

Satu perkongsiaan info penting oleh Baitul Muslim Malaysia. Moga ia memberi manfaat kepada pencarum muslim untuk segera mendaftarkan haji.


- TE


Uniqlo Pun Jual Tudung...

Bagi wanita yang gemar fesyen Uniqlo, berita baik untuk mereka khususnya yang berhijab untuk mendapatkan koleksi hijab dan baju konsep muslimah paling sempoi pada harga patut. 

Salah satu lokasi cawangan Uniqlo di pusat membeli belah Sunway Putra, Kuala Lumpur (lokasi asal yang terkenal sebagai The Mall) menjual pelbagai koleksi terbaru.


- TE 

Sunday, 3 January 2016

Kepuasan Anak-Anak Lebih Bermakna

Cuti hujung minggu termasuk Tahun Baru memang jadi masa sesuai untuk beriadah bersama keluarga pergi bercuti.

TE sekeluarga kali ini buat keputusan bercuti di Corus Paradise Resort di Port Dickson, Negeri Sembilan yang turut dikerumuni ramai pengunjung.

Tempat ini memang best dan jadi pilihan ramai pengunjung kerana mempunyai saiz swimming pool yang besar dan mudah akses ke pantai.

Begitu juga, di tepi pantai juga pengunjung bukan saja berpeluang menikmati keindahan alam terutama menyaksikan matahari terbenam tetapi boleh mencuba menaiki banana bot, kayak atau jet ski.

Bagi TE dan kebanyakkan keluarga lain yang mempunyai anak-anak pastinya seronok melihat gelagat anak-anak bermain air sepuasnya.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, apa yang memberi masalah pada pengunjung terutama pada hari pertama sampai ke sini adalah kawasan parkir kereta yang terhad sehingga ada yang terpaksa parkir di bahu jalan.

Masuk dalam bilik pula, jangan terkejut apabila tengok selak kunci dalam sudah patah dan ia merisaukan keselamatan diri dan barang tetamu hotel.

Apapun, kepuasan anak-anak bermandi di swimming pool dan berjalan di pantai lebih bermakna.


- TE